Site icon TechNave BM

Xiaomi Black Shark S1 rasmi dengan paparan AMOLED, bateri 10 hari berharga ~RM235

Black Shark iaitu sub-jenama tertumpu kepada permainan daripada Xiaomi telah melancarkan jam tangan pintar Black Shark S1 baharu untuk pasaran global. Sorotan utama jam tangan pintar ini ialah paparan AMOLED, hayat bateri sehingga 10 hari dan 100+ mod sukan. Ia juga menyokong panggilan Bluetooth dengan pembatalan hingar persekitaran (ENC).

Jam pintar Black Shark S1 berbentuk bulat dan mempunyai butang kawalan di sisinya. Badannya diperbuat daripada logam dengan penarafan IP68 dan hanya ditawarkan dalam pilihan warna hitam. Bahagian skrinnya menggunakan paparan AMOLED 1.43 inci dengan resolusi 466 x 466 piksel, kecerahan 600 nit dan kadar segar semula 60Hz. 

Black Shark S1 mendapat sokongan Paparan Sentiasa Hidup (AOD) dan lebih 100 muka jam. Ia juga menyokong panggilan Bluetooth, menjejaki lebih 100 mod sukan dan menawarkan hayat bateri 10 hari dengan penggunaan biasa. Jam tangan pintar ini boleh disambungkan melalui aplikasi Shark Wear untuk penjejakan GPS dan laporan senaman berkala.

Ia turut disertakan dengan ciri asas seperti kalkulator, kawalan kamera, jam randik, pemberitahuan mesej dan banyak lagi. Black Shark S1 hadir dengan harga mampu milik $50 (~RM235). Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Black Shark

Exit mobile version