Site icon TechNave BM

Xiaomi Buds 4 Pro dan Watch S1 Pro dilancar di Malaysia, bermula RM369

Xiaomi Malaysia telah memperkenalkan beberapa produk Artificial Internet of Things (AIoT) baharu di Malaysia, termasuklah fon telinga wayarles Xiaomi Buds 4 Pro, jam tangan pintar Xiaomi Watch S1 Pro, pelbagai robot vakum dan robot yang boleh memasak. Dalam artikel ini, kami akan memperkenalkan Xiaomi BUds 4 Pro dan Xiaomi Watch S1 Pro.

Xiaomi Buds 4 Pro

Xiaomi Buds 4 Pro merupakan fon telinga wayarles stereo tulen (true wireless stereo, TWS) yang dilengkapi teknologi Sony LDAC untuk kadar pindahan data 990kbps, kedalaman bit audio 32-bit dan sokongan Hi-Res Audio Wireless. Ia juga dilengkapi pembatalan hingar aktif (active noise cancelling, ANC) yang boleh membatalkan bunyi sehingga 48dB.

Ia mempunyai fungsi Built-in Dimenstional Audio yang menjejak gerakan kepala untuk hasilkan efek audio ruangan (spatial positioning). Xiaomi berkata baterinya boleh bertahan sehingga 9 jam pada fon telinga sahaja dan 38 jam jika digabungkan dengan bateri dalam bekasnya yang berbentuk kapsul.

Pengguna boleh menala audio melalui aplikasi Xiaomi Earbuds dan laraskan tetapan seperti ANC, Built-in Dimensional Audio dan peranti yang dihubungkan. Fon telinga ini boleh digabungkan dengan dua peranti serentak.

Ia akan ditawarkan dalam warna emas Star Gold dan hitam Space Black. Ia akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM369.

Xiaomi Watch S1 Pro

Jam tangan ini menampilkan skrin AMOLED berukuran 1.47 inci yang dibuat dengan kaca kristal nilam (crystal sapphire) yang tahan calar. Ia ditawarkan dalam dua warna, iaitu warna perak bersama tali kulit berwarna perang, serta warna hitam bersama tali getah berwarna hitam.

Pengguna boleh mengubah muka jam dengan lebih 100 pilihan, manakala pin khas membenarkan pengguna untuk mengubah tali jam menurut kesukaan mereka. Ia juga boleh membuat panggilan telefon secara Bluetooth dan mempunyai pembatalan hingar AI untuk kualiti percakapan yang lebih jelas

Watch S1 Pro boleh menjejak lebih 100 jenis sukan. Untuk sukan larian, ia menawarkan 10 program yang memenuhi pelbagai sasaran kesihatan, sama ada untuk pembakaran lemak, pembinaan stamina atau latihan berselang (interval training) untuk menguatkan jantung dan paru-paru.

Ia boleh menunjukkan data senaman dan penjejakan kesihatan seperti kalori yang dibakar, kekuatan dalam senaman, penjejakan tidur, degupan jantung serta tahap oksigen dalam darah.

Xiaomi mengatakan baterinya boleh bertahan sehingga 14 hari, manakala pengecasan selama 10 minit sahaja sudah cukup untuk bertahan selama dua hari. Ia akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM1,399.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan dua peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version