Site icon TechNave BM

Xiaomi Civi 2 bakal dilancar pada 27 September 2022, dilengkapi SD 7 Gen 1 dan cas pantas 67W

Xiaomi telah mengesahkan bahawa mereka bakal melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Xiaomi Civi 2 pada hari Selasa, 27 September 2022 di China. Ia bakal menawarkan rekaan anggun seperti yang terdapat pada Xiaomi Civi pertama yang dilancar pada tahun lalu.

Syarikat teknologi itu turut berkongsi reka bentuk Xiaomi Civi 2 dan beberapa spesifikasi utama. Dalam beberapa poster yang dimuat naik dalam media sosial Weibo, Xiaomi mengesahkan bahawa Civi 2 bakal dilengkapi cipset Snapdragon 7 Gen 1, bateri 4,500mAh dan pengecasan pantas 67W yang boleh mengecas penuh baterinya dalam masa 40 minit.

Selain itu, ia bakal mempunyai pilihan warna biru, hitam dan ungu serta edisi khas berwarna putih yang diinspirasikan daripada watak Hello Kitty.

Untuk kameranya pula, ia bakal dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX766 iaitu sensor yang kerap dilengkapkan dalam telefon kelas pertengahan. Satu ciri menarik pada Civi 2 adalah ia bakal dilengkapi sepasang kamera swafoto 32MP+32MP dalam lubang tebuk berbentuk pil.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaan Civi 2 di Malaysia. Civi pertama sebelum ini hanya dikhaskan untuk pasaran China sahaja, jadi perkara sama mungkin akan dilaksanakan untuk Civi 2. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon pintar ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version