Selepas kejayaan Xiaomi SU7 dalam pasaran China sejak pelancarannya tahun lalu, gergasi teknologi itu kini bersiap sedia untuk memperkenalkan model SUV pertama mereka yang diberi nama YU7. YU7 dijangka dilancarkan secara rasmi pada Jun atau Julai 2025 dan reka bentuknya diinspirasikan daripada model sedan SU7.
Sebagai sebuah SUV, YU7 turut menampilkan lengkung roda hitam dengan potongan sudut unik dan daripada segi keseluruhan, penampilannya lebih menyerupai Ferrari Purosangue versi junior berbanding menyerupai Porsche Taycan. Walaupun Xiaomi belum memberikan maklumat rasmi mengenai spesifikasi penuh, sumber yang dipercayai telah mendedahkan beberapa butiran awal.
Menurut laporan, YU7 akan berukuran 4,999 mm panjang, 1,996 mm lebar dan 1,600 mm tinggi. SUV ini juga akan dilengkapi dengan motor elektrik berkembar yang menghasilkan gabungan 690 PS (508 kW) menjadikannya lebih berkuasa daripada model flagship SU7 Max.
YU7 dijangka menggunakan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) daripada CATL dengan kapasiti lebih besar berbanding bateri 101 kWh milik SU7 Max untuk mengekalkan jarak pemanduan 800 km mengikut penarafan CLTC. Penambahan model kedua ini dijangka membantu Xiaomi meningkatkan jualan mereka.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge

