Site icon TechNave BM

Xiaomi HyperOS dilancar, sistem operasi terbaru dengan pelbagai fungsi berdasarkan AI

Sewaktu melancarkan siri telefon pintar Xiaomi 14 pada hari ini, Xiaomi turut memperkenalkan sistem operasinya yang terbaru untuk telefon pintar iaitu Xiaomi HyperOS. Ia sebenarnya sudah dilancar di China pada tahun lalu dan kini ia akan mula ditawarkan kepada para pengguna Xiaomi di seluruh dunia.

Sistem operasi ini direka dengan ekosistem “Manusia x Kereta x Rumah (Human x Car x Home)” bagi memudahkan penggunaan antara gajet, produk-produk IoT dan kenderaan elektrik. Ia menawarkan pengurusan fail dan memori yang lebih maju, antara muka (UI) yang baharu, perhubungan antara peranti yang lancar dan keselamatan yang lebih tinggi.

Teras HyperOS

Dengan HyperOS, semua gambar dan video yang disimpan dalam Xiaomi Gallery kini boleh disandarkan ke Google Photos. Pengguna juga boleh melihat, menyunting dan berkongsi gambar-gambar yang telah disandarkan. Fungsi ini akan ditawarkan kepada pengguna Xiaomi di seluruh dunia bermula musim bunga 2024.

Ia juga menampilkan beberapa fungsi berdasarkan kecerdasan buatan (AI), seperti AI Subtitles yang memaparkan sarikata automatik sewaktu anda berada dalam panggilan video. Selain itu, AI Album Search memudahkan anda mencari gambar dalam galeri, di mana anda hanya perlu menghuraikan benda yang ingin dicari dalam gambar.

Penggunaan AI Subtitles
Penggunaan AI Photo Search

AI Portraits pula menggunakan algoritma canggih untuk menghasilkan komposisi potret yang lebih cantik, manakala AI Expansion boleh memasukkan elemen tambahan yang realistik kepada gambar sedia ada.

Selain fungsi AI, HyperOS turut menawarkan Xiaomi HyperMind yang boleh menganalisa tabiat penggunaan anda kemudian menyediakan pengalaman yang sesuai untuk setiap individu. Ia menggunakan empat faktor – alam sekeliling, pandangan, bunyi dan kelakuan – untuk mempelajari tabiat pengguna.

Sebagai contoh, jika seorang pengguna kerap menghidupkan lampu ruang tamu selepas membuka pintu yang dilengkapi kunci pintar, HyperMind akan menghidupkan lampu secara automatik selepas mempelajari tabiat ini. Perlu diingati bahawa pengguna perlu memberi izin kepada HyperMind terlebih dahulu untuk melakukan sedemikian.

Siri Xiaomi 14 akan didatangkan dengan HyperOS, manakala telefon-telefon Xiaomi lain yang layak akan menerima kemas kini itu bermula musim bunga 2024. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan perisian ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version