Site icon TechNave BM

Xiaomi lancarkan teknologi pengecasan 200W, boleh cas bateri penuh sepantas 8 minit

Xiaomi hari ini telah melancarkan teknologi pengecasan pantas terbaru iaitu Xiaomi HyperCharge yang mempunyai kadar pengecasan 200W. Mereka mengatakan teknologi ini boleh mengecas penuh bateri 4,000mAh sepantas lapan minit sahaja, manakala pengecasan 50% adalah sepantas tiga minit.

Di samping itu, Xiaomi juga memperkenalkan teknologi pengecasan wayarles yang pantas dengan kadar 120W, di mana mereka mengatakan ia boleh mengecas penuh bateri 4,000mAh sepantas 15 minit sahaja, manakala pengecasan 50% pula adalah selama tujuh minit.

Setakat ini masih tidak diketahui telefon apakah yang bakal menjadi telefon pertama dengan teknologi pengecasan ini, namun ia mungkin akan ditawarkan dalam telefon andalan seterusnya seperti Mi 12. Di samping itu, pengecasan pantas yang agak agresif ini mungkin akan menjejaskan hayat bateri dalam jangka masa panjang.

Pada bulan Mac, Xiaomi telah pun mengatakan mereka bakal melancarkan peranti dengan pengecasan 200W pada separuh kedua tahun ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki pengecasan sepantas ini dalam telefon anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version