Site icon TechNave BM

Xiaomi Mi 10 ‘tewaskan’ komputer dan jaguh kubus Rubik

Pelbagai berita sudah pun dilaporkan mengenai telefon pintar flagship daripada Xiaomi, Mi 10, yang akan diumumkan pada 13 Februari dan 23 Februari ini. Terkini, syarikat itu memuat naik beberapa video promosi pendek yang memaparkan kebolehan peranti itu.

Untuk mendemonstrasi kepantasan telefon yang dioperasi oleh cipset Snapdragon 865 itu, Mi 10 mampu mengira sehingga 10 juta digit selepas titik perpuluhan Pi (π) dalam masa 36.8 saat. Dalam video itu, Xiaomi turut membuat perbandingan dengan sebuah komputer riba untuk ujian yang sama dan mendapati komputer itu hanya boleh berbuat sedemikian selepas 92 saat.

Dalam sebuah video lain pula, Mi 10 ‘melawan’ jaguh kubus Rubik dunia, Du Yusheng, untuk mengetahui siapa yang lebih pantas menyelesaikan alat permainan itu. Mi 10 yang dihubungkan dengan alat robotik berjaya menyelesaikan kubus itu sepantas 1.43 saat, berbanding Du yang mengambil masa 6.47 saat.

Adakah demonstrasi ini akan membuatkan anda membeli Mi 10 pada masa hadapan? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk liputan MWC sewaktu Mi 10 dilancarkan secara rasmi.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version