Site icon TechNave BM

Xiaomi Mi 11, realme “Race”, OPPO Find X3: Antara yang terawal guna Snapdragon 888 5G

Setelah Snapdragon 888 5G diumumkan semalam, ianya agak mengejutkan kerana namanya yang berbeza, tidak seperti jangkaan peminat yang menjangkan Snapdragon 875. Beberapa jenama telefon pintar turut membuat pengumuman awal mengenai peranti yang bakal dijana dengan Snapdragon 888 5G.

CEO Xiaomi Lei Jun semalam telah membuat pengumuman awal bahawa Xiaomi Mi 11 bakal dijana Snapdragon 888 5G. Tambah beliau, Xiaomi Mi 11 akan menjadi peranti pertama yang bakal dijana cipset baru ini.

Tidak mustahil jika ianya peranti pertama dengan cipset Snapdragon 888 5G memandangkan ia mungkin dilancar pada awal tahun 2021, lebih awal dari peranti jenama lain.

Menyusuli Xiaomi, realme turut mengumumkan bawah sebuah peranti realme dengan kod nama “Race” bakal hadir di pasaran dengan janaan cipset andalan (flagship) baru ini. Berkemungkinan, ia bakal dilancar pada Januari atau Februari 2021 dengan RAM 12GB dan empat kamera belakang. Anda boleh melihat gambar realme “Race” daripada sumber seperti di bawah.

OPPO juga mengumumkan perkara yang sama, bahawa sebuah peranti bakal hadir dengan cipset ini. Melihat kepada jenis peranti yang dihasilkan OPPO pada keluaran lepas, ianya mungkin adalah OPPO Find X3.

Apa pun, anda boleh menantikan berita yang lebih jelas mengenai peranti-peranti ini pada berita yang akan datang. Beritahu pandangan anda mengenai peranti awal Snapdragon 888 5G di laman Facebook kami dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2 | 3

Exit mobile version