Site icon TechNave BM

Xiaomi Mi 11 Youth Edition akan dilancar pada 29 Mac, telefon 5G ternipis di dunia

Xiaomi bakal menganjurkan sebuah acara pelancaran yang besar pada 29 Mac (esok) di mana pelbagai jenis produk akan dilancarkan termasuklah telefon pintar Mi 11 Pro, Mi 11 Ultra dan Mi MIX, komputer riba Mi Notebook Pro, gelang tangan pintar Mi Band 6, penghala (router) Wi-Fi serta banyak lagi. Kini Xiaomi mengesahkan satu lagi produk iaitu Mi 11 Youth Edition.

Telefon itu bakal menjadi peranti pertama yang dilengkapi cipset 5G kelas pertengahan Snapdragon 780G yang baru sahaja dilancar. Daripada segi rekaan, Mi 11 Youth Edition dijangka akan memiliki rekaan yang serupa dengan Mi 11 biasa, dengan skrin 6.55 inci, skrin melengkung di bahagian sisi dan bateri 4,150mAh. Telefon itu mungkin turut menyokong bicu audio 3.5 mm dan ruang kad microSD.

Apa yang menarik tentang peranti ini adalah ia bakal mempunyai ketebalan 6.81mm sahaja, menjadikannya antara telefon pintar yang ternipis dalam dunia. Xiaomi turut mempelawa pereka dari Jepun, Kenya Hara, bagi membina edisi khas untuk telefon tersebut.

Adakah anda berminat dengan Mi 11 versi pertengahan? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version