Site icon TechNave BM

Xiaomi Mi Band 5 dilancarkan, cas magnetik + bateri tahan 14 hari berharga ~RM113

Gelang khas untuk kesihatan atau lebih mesra dengan nama Band merupakan peranti yang telah mendapat tempat dalam kalangan peminat. Terkini, Xiaomi telah melancarkan Xiaomi Mi Band 5 di pasaran China dengan beberapa ciri teknologi menarik.

Xiaomi Mi Band 5 hadir dengan paparan besar dinamik 1.1 inci, peningkatan saiz sebanyak 20% yang memudahkan paparan maklumat untuk anda. Lebih menarik, Xiaomi Mi Band 5 menyokong pelbagai latar belakang termasuklah latar belakang Detective Conan, Evangelion, Spongebon Squarepants dan lain-lain.

Antara ciri teknologinya adalah sokongan 11 mod sukan profesional seperti yoga, mesin alat senaman elips, tali skip dan lain-lain. Ia juga menyokong penjejakan degup jantung melalui SpO2 (saturasi oksigen dalam darah) dan menyokong fungsi kitaran haid untuk kemudahan pengguna wanita.

Dengan peningkatan sensor kesihatan, Xiaomi turut menyokong monitor degup jantung semasa tidur dan memproses kadar degup jantung semasa bersenam. Turut hadir adalah ciri kawalan kamera pada telefon pintar yang disambungkan dengan Xiaomi Mi Band 5. Band keluaran kali ini menyokong pengecasan magnetik dan mempunyai ketahanan bateri sehingga 14 hari.

Xiaomi Mi Band 5 hadir dengan pilihan warna merah, kuning, hijau dan hitam. Harga Xiaomi Mi Band 5 di pasaran China adalah 189 Yuan (~RM113), manakala versi sokongan NFC pula berharga 229 Yuan (~RM137).

Mungkin Xiaomi Mi Band 5 bakal mendarat di Malaysia tidak lama lagi. Apa pun, kami masih tiada maklumat rasmi mengenai pelancarannya di Malaysia. Nantikan berita rasmi melalui Rakan Teknologi Utama Malaysia.

Exit mobile version