Site icon TechNave BM

Mi MIX sah akan dilancar pada 29 Mac, mungkin telefon lipat Xiaomi pertama

Xiaomi bakal melancarkan beberapa produk baru pada 29 Mac, termasuklah telefon pintar Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra, komputer riba Mi Notebook Pro dan mesin basuh MIJIA Washing Machine. Kini Xiaomi mengesahkan satu lagi produk yang akan dilancar iaitu telefon pintar Mi MIX.

Xiaomi tidak menyediakan butiran lanjut tentang telefon Mi MIX, namun ia dipercayai merupakan telefon pintar lipat yang pertama daripada Xiaomi. Sebelum ini, ia sudah pun menerima pengiktirafan 3C dan bakal dilengkapi spesifikasi tercanggih seperti Snapdragon 888 dan skrin 120Hz.

Mi MIX baru ini mungkin akan menampilkan mekanisme lipat mirip Samsung Galaxy Z Fold2, dengan skrin yang dilipat ke dalam. Skrin utamanya mungkin berukuran 7 inci dan kameranya pula terdiri daripada kamera utama 108MP dan dua lagi sensor lain.

Jenama Mi MIX merupakan siri telefon pintar yang sering mempunyai ciri-ciri unik dan eksperimental. Telefon terakhir yang berada dalam siri Mi MIX adalah Mi MIX Alpha yang dilancar pada tahun lepas dan mempunyai skrin yang meliputi keseluruhan telefon, termasuk di depan dan belakang.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Mi MIX baru ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo, Gizmochina

Exit mobile version