Site icon TechNave BM

Xiaomi MIX 4 dilancar: Kamera bawah skrin, SD 888+, cas pantas 120W, harga bermula ~RM3,267

Terbaru, Xiaomi telah melancarkan sebuah telefon pintar premium yang dinanti ramai iaitu Xiaomi MIX 4. Peranti ini adalah pengganti kepada Xiaomi Mi MIX 3 dan ia hadir dengan pelbagai spesifikasi menarik termasuklah kamera bawah skrin pertama dari Xiaomi.

Xiaomi MIX 4 ini hadir dengan skrin 6.67 inci AMOLED FHD+ tanpa sebarang takuk. Ini adalah kerana ia mempunyai kamera swafoto bawah skrin 20MP. Skrin peranti ini mempunyai susunan litar yang direka semula dan ia mampu berikan ketelusan cahaya yang baik kepada sensor swafotonya.

Xiaomi juga menggunakan piksel micro-diamond yang dapat mengurangkan pembiasan cahaya. Bukan itu sahaja, skrin di atas kameranya tetap hadir dengan ketumpatan 400ppi, jadi tulisan kecil di bahagian tersebut masih lagi jelas seperti biasa. Panel skrin ini dilengkapi perlindungan kaca Gorilla Glass Victus dan kadar segar semula 120Hz.

Untuk kamera belakang pula, ia hadir dengan kamera utama 108MP ISOCELL HMX 1/1.33 inci OIS bersama lensa periskop 8MP (5x Zum optikal) dan kamera ultra lebar 13MP free-form.

Selain itu, MIX 4 dikuasai oleh cipset Snapdragon 888+, RAM 8/12GB dan storan 128/512GB. Ia mempunyai kapasiti bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Pengecasan penuh mengambil masa 15 minit sahaja (boost mode). Ia juga menyokong pengecasan wayarles 50W yang mengecas penuh dalam masa 28 minit (boost mode).

Seperti yang dijangka, MIX 4 hadir dengan ciri ultra wideband (UWB) yang membolehkan kedudukan data yang tepat serta kawalan peranti pintar.

MIX 4 mempunyai panel belakang seramik dan ditawarkan dengan tiga warna iaitu hitam, putih dan kelabu. Ia juga hadir dengan pembesar suara stereo yang ditala oleh Harman/Kardon.

Xiaomi MIX 4 dijual bermula CNY 4,999 (~RM3,267) sehingga CNY 6,299 (~RM4,117) untuk varian 12/512GB. Peranti ini mula dijual di pasaran China pada 16 Ogos ini dan bakal memasuki pasaran global tidak lama lagi.

Adakah anda berminat dengan MIX 4 ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version