Site icon TechNave BM

Xiaomi MIX 5 muncul dengan UDC dan lensa magnetik, pelancaran global dijangka pada 2026

Peranti baharu dipercayai sebagai Xiaomi MIX 5 dilaporkan muncul dalam kod dalaman syarikat yang menandakan kebangkitan semula siri mercu eksperimen tersebut selepas tempoh senyap. Menurut laporan, peranti dikesan menggunakan kod nama “hongkong” dengan nombor model Q5.

Ia menjadi petunjuk jelas ia disasarkan untuk pelancaran sekitar tahun 2026 berdasarkan konvensyen penamaan dalaman Xiaomi. Antara fokus utama adalah penggunaan teknologi kamera bawah skrin (under display camera, UDC) yang kini dikatakan telah mencapai tahap kematangan untuk pengeluaran besar-besaran.

Ini membuka laluan kepada rekaan skrin penuh sebenar tanpa takuk atau lubang kamera. Selain itu, laporan turut menyebut pembangunan sistem kamera berasaskan lensa magnetik iaitu mekanisme fokus dan penstabilan menggunakan elemen magnet menggantikan komponen mekanikal tradisional. Ia dilaporkan mula memasuki fasa pengeluaran awal menjelang 2026.

MIX 5 berpotensi dilancarkan secara global yang merupakan satu perubahan besar memandangkan model MIX sebelum ini sering terhad kepada pasaran tertentu sahaja. Walaupun spesifikasi penuh masih belum disahkan, ia dijangka hadir dengan cip mercu generasi baharu dan menjalankan versi terkini HyperOS sejajar dengan kedudukannya sebagai platform ujian teknologi paling maju Xiaomi.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dikeluarkan. Namun kemunculan dalam kod dalaman menguatkan indikasi bahawa projek ini sudah berada dalam fasa pembangunan aktif. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: XimiTime

Exit mobile version