Xiaomi telah melancarkan telefon lipat gaya flip terbaharu di China iaitu Xiaomi MIX Flip 2. Seperti generasi sebelumnya, telefon ini mempunyai skrin utama yang boleh dilipat berukuran 6.86 inci dengan resolusi 1224×2912 serta skrin luaran berukuran 4 inci dengan resolusi 1392×1208.
Kedua-dua skrin menggunakan panel AMOLED yang menyokong gamut warna P3, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3,200 nits. Pada bahagian belakang, ia ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu emas Lattice Gold, putih Shell White, ungu Nebula Purple dan hijau Plum Green.
Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada cipset flagship Qualcomm Snapdragon 8 Elite, varian memori 12+256GB, 12+512GB atau 16GB+1TB serta bateri 5,165mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 67W dan pengecasan wayarles 50W. Pengecas 67W turut disertakan dalam kotak.
Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor OV50E 1/1.55″, kamera ultra-lebar 50MP serta kamera hadapan 32MP.
Buat masa ini, Xiaomi MIX Flip 2 hanya ditawarkan dalam pasaran China dengan harga bermula CNY5,999 (~RM3,540) untuk varian 12GB+256GB. Tiada maklumat mengenai keberadaannya untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

