Site icon TechNave BM

Xiaomi mungkin akan perkenalkan satu lagi subjenama telefon pintar

Sebagai sebuah syarikat teknologi utama, Xiaomi turut menubuhkan beberapa jenama bawahan seperti Redmi dan POCO yang menghasilkan produk untuk penggemar teknologi dan mereka yang inginkan peranti bajet. Buat masa ini, Redmi masih lagi berada di bawah Xiaomi manakala POCO pula telah berpisah dan bergerak sebagai jenamanya sendiri.

Kini Xiaomi dilaporkan bakal menubuhkan sebuah lagi jenama bawahan yang akan menawarkan produk khas untuk penggemar teknologi. Nama penuh untuk jenama ini masih belum diketahui, namun ia dikhabar bakal menghasilkan telefon pintar yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 700 Series dan sistem opersi Android asal (stock).

Ini bermaksud telefon itu akan siap dipasang dengan aplikasi-aplikasi Google, manakala aplikasi pihak ketiga daripada Xiaomi akan dikurangkan atau tidak ditawarkan terus. Selain itu, jenama ini juga menawarkan jadual kemas kini yang lebih tetap serta akan menerima tiga kemas kini Android utama dan kemas kini keselamatan selama empat tahun.

Telefon jenama baharu ini akan dikilang di India dan dijual dalam jurang harga INR15,000 (~RM850) hingga INR25,000 (~RM1,410), menjadikannya serupa seperti siri telefon Redmi Note.

Adakah anda berminat dengan sebuah lagi jenama Xiaomi? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Mobile Indian

Exit mobile version