Empat jenama telefon pintar terkemuka dari China iaitu Xiaomi, OPPO, vivo dan OnePlus dilaporkan sedang meneroka kemungkinan membangunkan versi Android tanpa sebarang integrasi perkhidmatan Google. Langkah ini berpotensi menjadi perubahan besar dalam landskap ekosistem mudah alih global.
Menurut sumber, usaha ini bermula sebagai sebahagian daripada dorongan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perisian dan ekosistem Google terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan sekatan teknologi yang pernah menjejaskan pengeluar China seperti HUAWEI.
Keempat-empat syarikat ini sebelum ini telah menyertai inisiatif seperti Global Developer Service Alliance (GDSA) yang membolehkan pembangun aplikasi memuat naik kandungan ke kedai aplikasi mereka secara serentak. Usaha ini dilihat sebagai langkah awal ke arah penyatuan ekosistem tersendiri.
Xiaomi pula baru-baru ini memperkenalkan sistem operasi HyperOS yang menggabungkan antara Android dan NuttX yang kini digunakan merentas peranti mudah alih, AIoT dan automotif. Ini menunjukkan arah tuju yang lebih bebas dan modular dalam kawalan perisian.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada mana-mana syarikat terlibat, laporan ini mencadangkan bahawa pembangunan versi Android tanpa Google mungkin bukan sekadar teori tetapi satu kemungkinan yang sedang aktif dikaji.
Jika direalisasikan, langkah ini bakal mencabar dominasi perkhidmatan Google seperti Play Store, Gmail, dan Maps dalam peranti Android, sekaligus membuka ruang kepada ekosistem baharu yang lebih berpaksikan Asia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: XiaomiTime

