Site icon TechNave BM

Xiaomi panggil balik 30,931 unit SU7 di China akibat isu perisian

Xiaomi telah mengumumkan panggilan balik terhadap 30,931 unit sedan elektrik SU7 di China berikutan isu perisian yang menjejaskan sistem parkir autonomi kenderaan tersebut. Untuk menyelesaikan masalah ini, Xiaomi menawarkan kemas kini percuma melalui over-the-air (OTA) tanpa memerlukan pemilik untuk mengunjungi pusat servis.

Masalah ini dilaporkan pada November lalu apabila seorang pemilik mengadu tingkah laku tidak dijangka semasa proses parkir autonomi. Sistem pengesanan kenderaan dilaporkan terganggu yang menyebabkan calar dan perlanggaran semasa parkir.

Panggilan balik ini melibatkan varian SU7 Standard yang dihasilkan antara 6 Februari 2024 hingga 26 November 2024 dengan nombor model BJ7000MBEVR2, XMA7000MBEVR2 dan XMA7000MBEVR5. Xiaomi mendapati punca masalah ini adalah isu penyelarasan masa dalam perkhidmatan awan yang menyokong sistem parkir autonomi.

Xiaomi telah mengambil langkah pembetulan pada perkhidmatan awan tersebut dan menambah langkah keselamatan tambahan pada sistem bantuan parkir pintar untuk menghapuskan risiko masalah ini daripada berulang. Selepas menjalani ujian dan pengesahan selama dua bulan, Xiaomi kini melancarkan kemas kini perisian melalui OTA.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ITHome

Exit mobile version