Site icon TechNave BM

Xiaomi perkenal sistem kamera modular di MWC 2025

Pada acara Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Xiaomi telah memperkenalkan sistem optik modular inovatif yang membolehkan pengguna menukar lensa kamera pada telefon pintar yang memberikan pengalaman fotografi setanding kamera DSLR.

Sistem ini menggunakan lensa 35mm yang boleh dipasang secara magnetik pada telefon pintar Xiaomi 15 yang diubah suai. Lensa ini dilengkapi dengan sensor 100MP Micro Four Thirds (M4/3) yang lebih besar daripada sensor telefon pintar biasa untuk menghasilkan kualiti imej yang lebih baik dan julat dinamik yang lebih luas.

Teknologi LaserLink milik Xiaomi membolehkan pemindahan data berkelajuan tinggi antara modul kamera dan telefon untuk memastikan pengalaman penggambaran yang lancar tanpa kelewatan. Lensa ini juga mempunyai motor autofokus terbina dalam dan cincin fokus fizikal untuk penyesuaian manual serta membolehkan pengguna mengawal sepenuhnya proses penggambaran.

Xiaomi turut memperkenalkan Xiaomi 15 Ultra Photography Kit Legend Edition yang berharga €199 menawarkan kawalan gaya DSLR seperti butang pengatup boleh tanggal, dail untuk pendedahan, ISO dan imbangan putih serta bateri 2,000mAh.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat inovasi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version