Xiaomi secara rasmi mendedahkan model SUV terbaharu, Sky Nomad N90 yang menandakan pengenalan sub-jenama baharu syarikat tersebut, Sky Nomad. Jenama Sky Nomad ini diwujudkan oleh Xiaomi bagi menumpukan kepada pasaran kenderaan keluarga yang memfokuskan kepada kegunaan jarak jauh dan gaya hidup luar.
Berbeza dengan model elektrik penuh (BEV) Xiaomi sebelum ini, N90 dibangunkan sebagai kenderaan elektrik julat lanjutan (EREV). Ia dilengkapi dengan dua motor elektrik serta enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo yang berfungsi sebagai penjana kuasa untuk mengecas pek bateri bersaiz lebih 70kWh daripada Sunwoda dan CALB.
Berdasarkan data, kenderaan ini mampu bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya antara 249 hingga 500 kilometer. Dengan bantuan penjana petrol, jumlah jarak gerak keseluruhan dilaporkan melebihi 1500 kilometer. Platform Kunlun yang digunakan membolehkan lantai kabin rata sepenuhnya dengan ruang dalaman yang boleh diubah suai mengikut keperluan.
N90 berukuran 17.4 kaki panjang dengan jarak roda 10.2 kaki dan ditawarkan dalam pilihan susun atur lima atau tujuh tempat duduk. Antara ciri utama yang disertakan adalah kerusi hadapan yang boleh berputar 180 darjah, konsol tengah boleh laras serta sokongan penderia LiDAR untuk sistem pemanduan automatik.
Bagi aktiviti luar, Xiaomi menyediakan pilihan khemah bumbung serta soket AC untuk perkakas elektrik. Kenderaan ini dijangka dijual pada harga di bawah RMB 450,000 (~RM) bagi menyokong sasaran penghantaran 550,000 unit kenderaan Xiaomi sepanjang tahun 2026.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

