Site icon TechNave BM

Xiaomi perkenalkan CyberOne, robot humanoid dengan teknologi AI

Xiaomi semasa acara di China semalam menunjukkan bahawa mereka lebih daripada sekadar sebuah syarikat telefon pintar dengan memperkenalkan produk robotik terbaharunya, robot humanoid bersaiz penuh yang dipanggil CyberOne.

Sudah tentu, ini bukan usaha pertama syarikat dalam bidang robotik kerana ia sebelum ini telah mengeluarkan CyberDog iaitu anjing robot terkenal dengan keupayaan yang mengagumkan. Untuk pengetahuan, CyberOne berada pada tahap yang baharu berbanding CyberDog.

Humanoid bersaiz penuh yang Xiaomi beri nama samaran ‘Metal bro’ mempunyai ketinggian 177cm dan berat 52kg. Xiaomi juga memberikannya tanda zodiak iaitu Leo. Selain itu, mukanya diperbuat daripada panel OLED melengkung dan ia boleh melihat dunia dalam 3D dan mendengar persekitarannya dengan dua mikrofon terbina dalam.

Xiaomi menegaskan bahawa CyberOne menggabungkan mekatronik canggih dan kecerdasan buatan (AI) yang dicipta oleh makmal robot khususnya. Xiaomi mendakwa bahawa ‘Metal bro’ boleh mentafsir 45 emosi manusia, membezakan antara 85 persekitaran yang berbeza dan mempelajari kemahiran baharu setiap hari.

Selain itu, Robot Labs membangunkan algoritma kawalan seluruh badan untuk CyberOne yang boleh menyelaraskan pergerakan 21 sendinya. Buat masa ini, CyberOne masih dalam fasa pembangunan dan tidak akan tersedia untuk pembelian dalam masa terdekat.

Seperti yang dilaporkan oleh GizmoChina, humanoid berkemungkinan besar berharga sehingga CNY700,000 (~RM460,727). Apakah pendapat anda tentang CyberOne? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version