Site icon TechNave BM

Xiaomi Smart Cooking Robot dilancar di Malaysia, 200 resepi terbina dalam berharga RM4,599

Xiaomi telah melancarkan Xiaomi Smart Cooking Robot bagi memenuhi keperluan memasak anda dengan lapan ciri. Ia hadir dengan 35 fungsi dan lebih 200 resipi terbina dalam untuk anda memasak serta dilengkapi skrin sentuh besar 8 inci. Xiaomi Smart Cooking Robot hadir dengan suis motor berkuasa tinggi dengan kelajuan putaran sehingga 12,000rpm.

Selain itu, algoritma CookingIoT yang dibangunkan membolehkan memasak dengan tepat dan automatik, mengira suhu memasak, masa serta kelajuan kacau secara bijak untuk setiap hidangan. Dilengkapi dengan pemanasan aruhan 3D, peranti ini menjadikan memasak lebih teliti dengan kurang asap dapur.

Periuknya diperbuat daripada keluli tahan karat dan berstruktur dengan 3 lapisan menjadikannya tahan lama serta cekap pada prestasi haba. Ia juga termasuk beberapa aksesori pelbagai guna untuk masakan kreatif termasuk rak pengukus, dulang tangkapan cecair, cawan penyukat, bakul jaring dan banyak lagi.

Produk Xiaomi AIoT yang baru diperkenalkan ini tersedia untuk pembelian di kedai sah Xiaomi, peruncit rasmi, kedai rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee berharga RM4,599. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti memasak baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version