Jika anda seorang penggemar kenderaan elektrik, kenderaan laju atau jenama teknologi Xiaomi, anda pasti berminat untuk lihat sendiri Xiaomi SU7 yang akan dipamerkan kepada orang awam di pusat beli-belah Suria KLCC sehingga 20 Oktober 2024. Kereta tersebut merupakan sebahagian daripada tarikan untuk jerayawara siri Xiaomi 14T yang akan berlangsung pada waktu dan tempat yang sama.
Varian yang dipamerkan adalah Xiaomi SU7 Max dengan kerusi pemandu yang terletak di sebelah kiri. Ini merupakan varian yang menggunakan pacuan semua roda dengan dwi-motor yang boleh memecut 0-100km/j dalam masa 2.78 saat, kelajuan maksimum 265 km/j serta menghasilkan kuasa kuda 673ps dan tork 838Nm.
Baterinya boleh mengekalkan jarak pemanduan sejauh 800km. Bateri CATL yang terdapat dalam kenderan ini telah dibangunkan oleh teknologi Cell-to-Body (CTB) Xiaomi yang menyepadukan bateri dengan lantai kereta. Rekaan ini meningkatkan kekuatan rangkanya serta membesarkan ruang dalaman untuk pengalaman yang lebih selesa.
Di dalam, sistem hiburannya boleh dikawal melalui skrin sentuh 16.1 inci dengan resolusi 3K, namun antara mukanya hanya ditulis dalam Bahasa Cina pada waktu ini. Sistem hiburan ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8295 dan sistem operasi Xiaomi HyperOS. Apple CarPlay dan AirPlay juga boleh digunakan dengannya.
Xiaomi Malaysia tidak menyediakan sebarang peluang untuk pandu uji SU7, namun pelanggan yang membeli mana-mana varian Xiaomi 14T dalam acara tersebut akan diberi peluang untuk memasuki kereta ini. Setakat ini masih tiada maklumat jika Xiaomi akan menjual SU7 dalam pasaran Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

