Site icon TechNave BM

Xiaomi SU7 Ultra akan diperkenal dalam ‘game’ Gran Turismo 7 di PS4 & PS5

Xiaomi dan Polyphony Digital telah mengumumkan kerjasama penting semasa pusingan pertama Gran Turismo World Series 2025 di mana model Xiaomi SU7 Ultra, kereta elektrik mewah berprestasi tinggi oleh Xiaomi EV akan diperkenalkan dalam permainan Gran Turismo 7 di PlayStation 4 dan 5. Ini merupakan kali pertama model Xiaomi ditampilkan dalam siri permainan perlumbaan tersohor itu, yang terkenal dengan simulasi pemanduan realistik berdasarkan parameter kejuruteraan dunia sebenar.

Kerjasama ini bermula selepas pengasas Gran Turismo, Kazunori Yamauchi bertemu dengan CEO Xiaomi, Lei Jun di Beijing pada Mei 2025. Yamauchi turut menguji sendiri Xiaomi SU7 Ultra dan melawat kilang EV Xiaomi. Beliau memuji Xiaomi atas pencapaian luar biasa dalam industri automotif terutamanya kejayaan SU7 Ultra di litar Nürburgring. Kedua-dua pihak berkongsi visi untuk membina masyarakat yang lebih baik melalui teknologi dengan satu nilai yang menjadi asas kerjasama ini.

Xiaomi SU7 Ultra direka dengan teknologi dalaman seperti HyperEngine V8s dan sistem tiga motor tersendiri, menjana kuasa hingga 1,548 PS dengan kelajuan melebihi 350 km/j dan pecutan 0–100 km/j dalam 1.98 saat. Rekaan mewahnya turut menampilkan 21 komponen gentian karbon, serta diuji secara intensif di litar-litar profesional seperti Nürburgring bagi memastikan prestasi dan keselamatan terbaik. Semua teknologi diuji litar ini kemudiannya disesuaikan untuk pengeluaran kereta jalanan.

Gran Turismo 7 akan menampilkan Xiaomi SU7 Ultra hasil pembangunan bersama Xiaomi EV yang menekankan ketepatan dalam reka bentuk dan dinamik pemanduan. Xiaomi turut merancang untuk bekerjasama dengan Gran Turismo dalam membangunkan konsep VISION GRAN TURISMO pada masa depan bagi meneruskan usaha memperkenalkan teknologi EV berprestasi tinggi kepada pemain dan peminat automotif di seluruh dunia.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version