Site icon TechNave BM

Xiaomi umumkan teknologi bateri baru, boleh tingkatkan kapasiti sebanyak 10%

Xiaomi mengumumkan dalam media sosial Weibo bahawa pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka telah mencipta sebuah teknologi baharu untuk bateri telefon pintar, di mana ia boleh mempunyai kapasiti lebih tinggi berbanding bateri lain yang mempunyai saiz sama.

Dalam teknologi tersebut, penyelidik Xiaomi meningkatkan jumlah silikon di dalam bateri sebanyak tiga kali ganda, membuatkan kapasiti miliamp hour (mAh) meningkat sebanyak 10%. Ini juga bermaksud pengguna boleh menggunakan telefon dengan lebih lama sekitar 100 minit.

Teknologi pembuatannya juga telah diperbaharui, di mana reka bentuk bateri boleh dikecilkan. Modul perlindungan litar PCM (protection circuit module) direka agar ia boleh dilipat pada sudut 90° dan tidak lagi rata, memudahkan saiz keseluruhan bateri untuk dikecilkan.

Selain itu, Xiaomi telah membangunkan cip baru bagi memanjangkan hayat keseluruhan bateri. Ia boleh mengelakkan pengecasan terlalu tinggi jika telefon dicas dalam masa yang lama, serta dilengkapi sensor tambahan yang mengukur suhu bateri.

Telefon pertama yang dilengkapi bateri ini dijangka akan muncul pada separuh kedua 2022. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version