Xiaomi mengumumkan penyertaan rasmi dalam projek Vision Gran Turismo menerusi pelancaran Xiaomi Vision Gran Turismo iaitu konsep hypercar elektrik untuk platform simulasi perlumbaan Gran Turismo 7 hasil kerjasama dengan Polyphony Digital dan Sony Interactive Entertainment.
Inisiatif ini menjadikan Xiaomi sebagai jenama teknologi pertama menyertai koleksi Vision Gran Turismo selepas menerima jemputan daripada penerbit siri tersebut, Kazunori Yamauchi. Ia merupakan kenderaan konsep ke-51 dalam program tersebut dan menandakan Xiaomi sebagai jenama ke-36 menyertainya.
Direka berasaskan falsafah “sculpted by wind”, Xiaomi Vision Gran Turismo menampilkan kokpit berbentuk titisan air yang disepadukan dengan badan beralun dan saluran aerodinamik menyeluruh termasuk lampu belakang halo yang turut berfungsi sebagai saluran udara.
Gabungan Active Wake Control System dan Accretion Rims membolehkan ia mencapai pekali seretan 0.29, downforce -1.2 serta kecekapan aerodinamik 4.1 melalui simulasi berulang yang mengimbangi rintangan rendah dan daya tekan tinggi bagi hypercar elektrik.
Bahagian dalaman memperkenalkan konsep “Sofa Racer” dengan kabin berbentuk kepompong yang menggabungkan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk sebagai satu unit disokong sistem Xiaomi Pulse yang berinteraksi melalui cahaya dan bunyi serta menyesuaikan pengalaman mengikut keadaan pemandu.
Ia turut berintegrasi dengan ekosistem pintar Xiaomi “Human × Car × Home”. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

