Site icon TechNave BM

Xiaomi Watch S1 Pro dilancar: hayat bateri sehingga 14 hari, berharga ~RM986

Malam tadi, Xiaomi turut mengumumkan beberapa peranti boleh pakai seperti Xiaomi Buds 4 Pro dan terdapat jam tangan pintar baharu iaitu Xiaomi Watch S1 Pro. Berbanding dengan Xiaomi Watch S1 Active, Watch S1 Pro agak serupa dengan Watch S1.

Ia mempunyai cermin kaca nilam yang sama dan reka bentuk badan keluli tahan karat. Talinya diperbuat daripada kulit tetapi anda juga boleh memilih getah dan keluli tahan karat. Skrinnya bersaiz 1.47 inci dengan resolusi 480 x 480 piksel, kecerahan 600 nit dan lebih 100 muka jam.

Terdapat juga lebih 100+ mod sukan dan dilengkapi dengan sistem GNSS dwi-jalur. Selain itu, terdapat ciri pemantau kadar jantung, tidur, tekanan, suhu kulit dan pengesan oksigen darah rendah. Sebagai jam tangan pintar, ia boleh melakukan perkara lain.

Ini termasuk panggilan melalui Bluetooth dan boleh disambungkan dengan pelbagai jenis peranti pintar Xiaomi melalui Miaoxiang Center seperti TV Pintar Xiaomi dan pembesar suara pintar. Xiaomi juga berkata hayat bateri boleh bertahan sehingga 14 hari.

Xiaomi Watch S1 Pro berharga 1,499 yuan (~RM986) dan kami berharap ia akan dipasarkan di Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: ITHome

Exit mobile version