Litar Nürburgring Nordschleife di Jerman terkenal sebagai antara litar paling mencabar di dunia, tetapi kali ini ia menjadi lokasi percubaan yang berbeza apabila Xiaomi berjaya melengkapkan pusingan tanpa pemandu menggunakan SUV elektrik YU7 GT. Dalam percubaan tersebut, YU7 GT mencatat masa 10 minit 29.483 saat untuk sistem pemanduan autonomi.
Walaupun masa itu masih jauh daripada tahap pelumba profesional, ia menunjukkan sistem AI mampu mengendalikan situasi pemanduan berkelajuan tinggi termasuk kawalan membrek, selekoh dan kestabilan kenderaan tanpa campur tangan manusia. Sebagai perbandingan, YU7 GT pernah merekodkan masa 7 minit 22.755 saat oleh pelumba profesional.
Ini bermaksud pusingan autonomi tersebut masih ketinggalan lebih tiga minit berbanding pemanduan manusia. Xiaomi YU7 GT menggunakan platform 897V Silicon Carbide, bateri 101.7kWh dan dua motor elektrik V8S EVO yang menghasilkan sehingga 738kW (1,003hp). SUV ini mampu memecut 0–100km/j dalam 2.92 saat dengan kelajuan maksimum 300km/j.
Xiaomi turut mendakwa sistem pengecasannya boleh menambah sehingga 570km jarak pemanduan dalam sekitar 15 minit selain menggunakan sistem penyejukan bateri yang direka untuk mengekalkan prestasi ketika beban tinggi. Menariknya, pencapaian ini hadir ketika jualan EV Xiaomi menunjukkan sedikit penurunan di pasaran China.
Jadi persoalannya sekarang, adakah rekod pemanduan tanpa pemandu ini cukup untuk tarik semula perhatian pengguna? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

