EV Xiaomi sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif apabila Xiaomi YU7 GT kini rasmi menjadi SUV produksi terpantas di litar Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 34.931 saat. Rekod tersebut dicapai dengan pemandu ujian utama Xiaomi, Ren Zhoucan, yang menewaskan rekod terdahulu milik Audi RS Q8 Performance yang mencatat 7:36.698.
Sebelum ini, Porsche Cayenne Turbo GT turut berada dalam kelompok teratas dengan masa 7:38.925. CEO Xiaomi, Lei Jun turut memuji pencapaian tersebut sambil menegaskan bahawa SUV sememangnya lebih sukar mencatat masa agresif di Nürburgring kerana pusat graviti yang lebih tinggi berbanding kereta sukan biasa.
Walaupun pelancaran penuh hanya dijadualkan berlangsung pada 21 Mei, Xiaomi sudah mula mendedahkan beberapa spesifikasi utama YU7 GT. SUV elektrik prestasi tinggi itu menggunakan sistem dwi-motor yang menghasilkan kuasa sehingga 738kW atau sekitar 990hp. YU7 GT dilengkapi cakera brek karbon-seramik selain dibangunkan bersama pakar automotif dari China dan Eropah.
Xiaomi juga mendakwa SUV tersebut mampu mencapai kelajuan maksimum 300km/j selain menawarkan jarak perjalanan sehingga 705km berdasarkan standard CLTC. Untuk harga, Xiaomi YU7 GT dijangka bermula sekitar RMB400,000 (~RM233,658) manakala model standard YU7 sebelum ini dilancarkan pada harga permulaan RMB253,500 (~RM148,000).
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

