Site icon TechNave BM

YES jamin telefonnya selamat untuk diguna, nasihatkan pengguna untuk kekal dengan pengecas asal

Beberapa hari lalu, terdapat berita tular di mana sebuah telefon YES Altitude 3 yang terbakar sewaktu seorang pelajar menggunakannya dalam waku pembelajaran. Berikutan kejadian tersebut, pihak YTL Commuications telah memulakan siasatan bagi mencari punca kebakaran telefon itu.

Mereka mendapati telefon tersebut telah digunakan dengan pengecas dan kabel pihak ketiga yang tidak disertakan bersama telefon itu pada asalnya. Kabel tersebut telah menunjukkan kesan-kesan koyak, mendedahkan wayar dalaman serta mengumpulkan haba dengan tinggi dalam kabel, jadi ini telah menyebabkan kebakaran untuk tercetus pada telefon itu.

Selain itu, telefon tersebut dihubungkan pada palam elektrik yang agak tinggi kedudukannya dan diletakkan dalam poket baju yang digantung pada dinding. Skrinnya pula menunjukkan kondisi yang baik, menandakan bahawa telefon itu tidak meletup.

YTL juga telah bekerjasama dengan pengilang telefon tersebut iaitu China Mobile dan UTime Limited untuk memulakan semakan audit terhadap penghasilan telefon tersebut. Telefon YES Altitude 3 telah pun mendapat pengiktirafan keselamatan dan kesihatan seperti Conformitè Europëenne (CE) yang menjamin ia adalah selamat untuk digunakan.

Berikutan penyiasatan tersebut, YTL yakin dengan mutu dan tahap keselamatan produknya. Mereka juga menasihati para pengguna untuk hanya mengecas telefon itu dengan pengecas dan kabel yang disertakan bersamanya, di mana ia telah pun mendapat pengiktirafan SIRIM.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version