Site icon TechNave BM

YouTube bantu umat Islam meriahkan suasana Ramadhan sewaktu PKP

Dengan penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga kini, bulan Ramadhan pada tahun ini tentunya amat berlainan dengan tahun-tahun lalu. Bagi menggantikan kesuraman Ramadhan pada bulan ini, YouTube telah membantu netizen Malaysia dengan menyusun senarai kandungan yang membantu umat Islam menyambut bulan suci ini.

Daripada aktiviti Sahur-Iftar hinggalah video ilmiah, YouTube telah mencipta senarai Ramadan #WithMe sempena bulan puasa ini. Ia merangkumi video Islamik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan saluran televisyen seperti TV3, TV9, Astro Ceria, TV Al-Hijrah dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain itu, terdapat juga kandungan video hiburan daripada Dato’ Siti Nurhaliza, Alif Satar, Sterk Productions dan ramai lagi pencipta kandungan hebat sekitar negara.

Jika anda lebih cenderung pada kandungan video antarabangsa, anda boleh lihat siaran langsung bacaan Quran daripada Mekah, video lagu Islamik daripada Indonesia dan Singapura, panduan memasak Iftar dari Turki, video fesyen Islamik dari Los Angeles dan banyak lagi.

Adakah YouTube banyak membantu anda sewaktu bulan puasa ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version