Kali ini, YouTube telah memaklumkan bahawa mereka tidak akan memuat naik kompilasi tahunan YouTube Rewind khas untuk tahun 2020. Pengumuman ini telah dibuat hari ini melalui siaran di laman Twitter rasmi, dengan memberi sedikit penjelasan tentang ketiadaan YouTube Rewind 2020.
Menurut YouTube, tahun 2020 adalah tahun yang berbeza dan di atas sebab yang tertentu, mereka merasakan tidak kena jika YouTube Rewind 2020 ini diteruskan. Jadi, tiada kompilasi YouTube Rewind pada tahun ini. Mereka turut memberi penghargaan kepada warga YouTube, mengakhiri ucapan dengan ‘terima kasih di atas perubahan ini’ untuk memberi semangat.
Sementara ianya bukan disebabkan oleh kegusaran jika Rewind 2020 baka mendapat banyak reaksi dislike, namun terdapat warganet yang merasakan bahawa YouTube masih boleh mencuba menerbitkannya. Terdahulu, YouTube Rewind dilihat mendapat reaksi negatif kerana tiada sebarang penambahan elemen kreatif, hanya paparan keratan montaj bintang di YouTube.
Apakah pandangan anda pula? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: YouTube

