YouTube mengumumkan kemas kini dasar baharu yang akan berkuat kuasa 17 November 2025 dengan fokus utama kepada kandungan permainan video ganas serta aktiviti perjudian maya. Menurut sumber, video yang mengandungi adegan berdarah, penyiksaan atau kekerasan ekstrem terhadap watak menyerupai manusia sebenar kini tertakluk kepada kawalan lebih ketat.
Kandungan seperti ini boleh dikenakan sekatan umur malah tidak layak untuk pengiklanan jika dianggap keterlaluan atau tidak sesuai untuk tontonan umum. YouTube menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat bagi melindungi pengguna bawah 18 tahun daripada terdedah kepada paparan keganasan realistik yang semakin kerap muncul dalam permainan moden seperti Call of Duty, GTA V dan Mortal Kombat.
Selain keganasan, YouTube turut memperluas dasar terhadap kandungan berunsur perjudian dalam talian termasuk permainan kasino simulasi dan slot maya. Video yang kelihatan seperti memupuk minat atau mempromosikan perjudian sebenar juga boleh dikenakan sekatan serupa.
Langkah ini menandakan usaha YouTube untuk menyeimbangkan kebebasan kreatif pencipta kandungan dengan tanggungjawab sosial, memastikan platform kekal selamat dan sesuai untuk penonton muda di seluruh dunia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

