Site icon TechNave BM

YouTube Shorts kini boleh diakses oleh lebih ramai pengguna

YouTube Shorts, sebuah fungsi perkongsian video pendek dalam YouTube, kini boleh diakses oleh semua pengguna YouTube di Amerika Syarikat (AS). Fungsi yang diinspirasikan daripada TikTok itu telah dilancar pada September 2020 di India, kemudian pada Mac 2021 di AS untuk beberapa penguji beta awal.

Kini, YouTube membenarkan semua pengguna di AS untuk memuat naik video pendek dalam YouTube shorts. Dengan fungsi Shorts dalam aplikasi YouTube, pengguna boleh menyunting video pendek mereka dengan pelbagai filter, efek khas, kapsyen, penggubahan warna dan banyak lagi.

Video untuk YouTube Shorts boleh direkod sehingga 60 saat, namun jika pengguna ingin menggunakan muzik daripada pustaka (library) YouTube, video itu hanya boleh berlangsung selama 15 saat.

Kehadiran Shorts juga akan menggantikan butang Explore di bahagian bawah skrin dalam aplikasi YouTube, di mana ruang Explore akan dipindahkan ke bahagian atas kiri di mana pengguna boleh meneroka video baru daripada pencipta kandungan yang pengguna mungkin tidak tahu.

Ini juga bermaksud YouTube Shorts mungkin akan disediakan kepada penonton di Malaysia tidak lama lagi. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version