Site icon TechNave BM

YouTube Shorts kini diperkenalkan untuk pengguna di Malaysia

Google Malaysia hari ini memperkenalkan fungsi YouTube Shorts untuk pencipta kandungan dalam laman web tersebut, di mana mereka boleh memuat naik video pendek daripada telefon pintar. Fungsi ini telah mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada September 2020 dan kini ia boleh digunakan dalam lebih 100 negara.

Sebelum ini, pengguna di Malaysia hanya boleh menonton video YouTube Shorts yang dihasilkan dari luar negara. Kini, mereka sudah boleh mencipta video YouTube Shorts dengan pelbagai alat suntingan menarik, seperti segmen multi-kamera, merakam dengan muzik, mengawal kelajuan video dan banyak lagi.

Pengguna boleh merakam video YouTube Shorts dengan tempoh maksimum 60 saat dan menyuntingnya dengan menambahkan teks, menambah gambar atau video daripada galeri dalam telefon dan mengenakan penapis (filter) ringkas dalam video itu.

Pengguna bukan sahaja boleh menggunakan muzik dalam video Shorts mereka, malah boleh memetik video lain yang terdapat dalam YouTube. Ini bermaksud pengguna boleh merakam reaksi, membuat parodi atau melakonkan semula video YouTube kegemaran mereka.

Beberapa YouTuber Malaysia telah pun berkongsi video mereka dengan format Shorts, seperti Jenn Chia, Cassidy Creme, Gaston Pong, Smashpop dan Linora Low.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version