Site icon TechNave BM

YouTube tawarkan pelbagai fungsi baharu sempena ulang tahun ke-17, seperti zum dalam video

Sempena ulang tahun ke-17 pada tahun ini, platofrm perkongsian video YouTube akan memperkenalkan beberapa fungsi baharu untuk para penontonnya. Ini termasuklah pembaharuan daripada segi antara muka dan pewarnaan baharu dalam video.

Antara fungsi baharu ini adalah zum cubitan (pinch to zoom), di mana anda boleh zum pada video dengan mencubit keluar atau mencubit masuk pada skrin. Sebelum ini, fungsi zum cubitan hanya terhad untuk pelanggan YouTube Premium sahaja. Kini, ia akan ditawarkan kepada semua pengguna.

Dengan pinch to zoom, anda boleh zum masuk ke dalam video sewaktu menonton
Pencarian tepat (precise seeking) memudahkan anda mencari detik spesifik dalam video

Sewaktu mengundur balik video yang anda tonton, anda boleh gunakan pencarian tepat (precise seeking) bagi mencari detik spesifik yang anda ingin tonton semula. Apabila anda menekan lama pada garis masa video, anda akan melihat beberapa gambar kecil yang memudahkan anda untuk mencari detik spesifik.

Selain itu, satu fungsi menarik adalah Ambient Mode, di mana warna pada latar belakang aplikasi YouTube akan menyerupai warna yang dihasilkan dalam video. Mod ini hanya boleh diaktifkan dalam mod gelap (dark theme). Skema pewarnaan ini akan turut diperkenalkan dalam senarai main (playlist).

Perbezaan Ambient Mode apabila ia dimatikan (kiri) dan dihidupkan (kanan)
Perbezaan Ambient Mode dalam senarai main apabila ia dimatikan (kiri) dan dihidupkan (kanan)

Bercakap tentang mod gelap, YouTube mengatakan aplikasinya akan menjadi lebih gelap supaya video nampak lebih menyerlah. Ia akan ditawarkan dalam laman web, aplikasi mudah alih dan televisyen pintar.

YouTube juga memperkenalkan pembaharuan untuk antara muka (UI), contohnya pautan pada huraian video akan ditukarkan kepada butang khas, butang kongsi dan muat turun akan disusun semula bagi mengurangkan gangguan pada video, serta butang langgan kini akan mempunyai bentuk dan warna yang lebih jelas.

Semua fungsi ini akan diberikan kepada pengguna dalam masa terdekat. Kongsi pendapat anda tentang fungsi YouTube ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: YouTube Blog

Exit mobile version