Zeekr kini secara rasmi muncul sebagai jenama EV premium nombor 1 di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini berdasarkan data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Zeekr merekodkan sebanyak 357 pendaftaran EV pada April 2026 yang menjadikan jumlah keseluruhan tahun-ke-tarikh (YTD) meningkat kepada 1,214 unit.
Zeekr mendahului beberapa jenama EV premium lain termasuk Tesla, selain turut muncul sebagai jenama EV keempat paling laris secara keseluruhan di Malaysia. Prestasi banyak dipacu oleh jualan kukuh Zeekr 7X yang kini menjadi SUV EV premium paling laris di Malaysia.
Model tersebut merekodkan 303 unit jualan pada April sahaja manakala jumlah penghantaran bagi 2026 setakat ini sudah mencecah 999 unit. Sebagai perbandingan, Tesla Model Y hanya merekodkan 371 unit pendaftaran sepanjang tempoh sama berdasarkan data JPJ yang dikongsikan. Zeekr 7X kini menjadi model EV keempat paling laris di Malaysia untuk 2026 setakat ini.
Dalam masa sama, Zeekr 009 pula terus menguasai segmen MPV EV premium tempatan dengan 51 unit direkodkan pada April dan 204 unit bagi jualan YTD 2026. Secara keseluruhan, Zeekr sudah merekodkan jualan kumulatif sebanyak 3,849 unit di Malaysia sejak memasuki pasaran tempatan kurang daripada dua tahun lalu. Jumlah itu terdiri daripada:
- 2,509 unit Zeekr 7X
- 1,166 unit Zeekr 009
- 174 unit Zeekr X
Selain jualan, Zeekr juga memperluaskan rangkaian operasi mereka di Malaysia dengan 10 bilik pameran dan empat pusat servis kini sudah beroperasi di seluruh negara. Beberapa model Zeekr juga sebelum ini sudah memenangi pelbagai anugerah industri termasuk:
- Zeekr 7X – SUV of the Year (MCOTY 2025) dan Electric SUV of the Year (VOTY 2026)
- Zeekr 009 – Overall Malaysia Car of the Year 2025 serta Best Premium EV MPV
Dengan momentum semasa, Zeekr nampaknya semakin agresif dalam mencabar dominasi jenama EV premium sedia ada di Malaysia khususnya Tesla. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

