Site icon TechNave BM

ZenFone 8 mini muncul di GeekBench, dilengkapi cipset Snapdragon 888 dan RAM 16GB!

Pada awal bulan ini, terdapat khabar angin yang menyatakan ASUS bakal melancarkan generasi baru untuk telefon andalannya. Siri baru ini dikatakan akan hadir dengan 4 model iaitu ZenFone 8, ZenFone 8 Pro, ZenFone 8 Flip dan ZenFone 8 mini. Terbaru, ZenFone 8 mini telah dikesan di penanda aras GeekBench.

Berdasarkan penyenaraian di GeekBench, ia dilihat menggunakan cipset andalan Snapdragon 888 dengan RAM 16GB. Ini agak mengagumkan kerana walaupun ianya bersaiz kecil, bilangan RAMnya adalah sangat tinggi. Buat masa ini, bilangan RAM setinggi 16GB masih lagi belum menjadi norma telefon andalan.

ZenFone 8 mini berjaya mendapat markah setinggi 1,121 untuk teras tunggal dan 3,662 untuk teras pelbagai. Seperti kebanyakan peranti Android tahun ini, ia juga menggunakan perisian Android 11.

Untuk spesifikasi lain, ZenFone 8 mini dikhabarkan akan hadir dengan skrin OLED 5.92 inci bersama kadar segar semula 120Hz. Peranti ini juga mungkin dilengkapi kamera 64MP Sony IMX686 dan sebuah sensor baru Sony IMX663.

Sehingga kini, tiada lagi berita rasmi mengenai siri ZenFone 8 ini. Nantikan berita lanjut mengenai siri ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizchina

Exit mobile version