Site icon TechNave BM

ZTE Axon 30 5G dilancar: Kamera bawah skrin generasi kedua, SD870, harga bermula ~RM1,429

Menyambung legasi Axon 20 5G, ZTE kini melancarkan telefon pintar dengan kamera bawah skrin generasi kedua, Axon 30 5G. Ia bukan sahaja menggunakan teknologi kamera bawah skrin yang baru, tetapi juga hadir dengan reka bentuk dan spesifikasi baru yang lebih menarik.

Axon 30 5G menggunakan skrin 6.92 inci AMOLED FHD+ 10 bit yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Kamera swafotonya adalah 16MP dan skrin diatasnya mempunyai ketumpatan piksel dua kali ganda berbanding generasi lalu, dari 200ppi ke 400ppi. Ini bermakna skrin di atas kameranya adalah lebih jelas dan lebih tajam.

Pada bahagian belakang, ia hadir dengan kamera utama 64MP Sony IMX682 bersama lensa ultra lebar 8MP, lensa makro 5MP dan sensor kedalaman. Selain dari itu, ia dikuasai oleh cipset Snapdragon 870 bersama RAM setinggi 12GB dan storan UFS 3.1 sebesar 256GB.

Baterinya pula berkapasiti 4,200mAh dan menyokong pengecasan pantas 55W. Seperti telefon ZTE tahun ini, ia menggunakan antara muka MyOS 11 atas perisian Android 11.

Axon 30 5G ditawarkan dengan dua warna iaitu hitam dan hijau pada tanda harga bermula CNY 2,198 (~RM1,429) untuk memori 6/128GB. Manakala memori 12/256GB berharga CNY 3,098 (~RM2,014).

ZTE mengesahkan bahawa ia akan datang ke pasaran global tidak lama lagi.

Adakah anda meminati peranti dengan kamera bawah skrin ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version