Site icon TechNave BM

ZTE Axon 30 Edisi Ultra Aerospace miliki RAM 18GB dan storan 1TB, bakal dilancar 25 November ini

Telefon pintar pertama dengan RAM 16GB tiba pada awal 2020 dan pada tahun ini muncul telefon pintar pertama dengan RAM 18GB. Adakah kita akan melihat telefon 20GB pertama sebelum 2021 berakhir? Mungkin, tetapi kita belum mempunyai apa-apa sumber. ZTE telah mendedahkan telefon pintar edisi terhad bagi kelas andalannya terkini yang digelar ZTE Axon 30 Edisi Ultra Aerospace.

Model ini akan dipromosikan oleh pelakon Haocun Liu dari filem One Second. Selain mempromosikan telefon ini melalui filem, peranti ini juga meraikan kejayaan bersama agensi angkasa lepas China yang berjaya menghantar pengorbit dan tiga taikonaut ke stesen angkasa China (Tiangong) serta mendarat di Marikh (Tianwen-1).

Telefon edisi Aerospace ini akan mempunyai RAM 18GB yang merupakan satu pencapaian sama seperti telefon gaming ZTE iaitu Red Magic 6 Pro. Walau bagaimanapun, ia juga akan menampilkan teknologi RAM maya supaya ia akan menawarkan kapasiti RAM sehingga 20GB walaupun sebahagian daripadanya beroperasi pada storan UFS 3.1.

ZTE Axon 30 Edisi Ultra Aerospace (18GB/1TB) akan tersedia di China mulai 25 November dan harganya masih belum diumumkan. Ia dijangkakan lebih mahal daripada Axon 30 Ultra yang berharga CNY6, 666 (~RM4,366) untuk versi 16GB/1TB.

Adakah anda berminat dengan peranti ini? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version