Site icon TechNave BM

Adakah ini rupa bonggol kamera vivo X80?

vivo dikhabar bakal melancarkan siri telefon pintar andalan terbaru, vivo X80, tidak lama lagi. Syarikat China itu masih belum mengesahkan sebarang maklumat tentangnya, namun sebuah poster yang telah tertiris mungkin menunjukkan rekaan belakang telefon tersebut.

Pengkhabar berita teknologi Mayank Kumar telah berkongsi poster yang menunjukkan rekaan belakang vivo X80, di mana ia mempunyai bonggol kamera berbentuk petak yang sangat besar. Bonggol tersebut mungkin dibuat daripada kaca, manakala empat lensanya diletakkan dalam sebuah lagi bonggol berbentuk bulat di tengah-tengah petak tersebut.

Selain itu, bonggol kamera petak itu juga mungkin menempatkan sebuah skrin kecil bagi membantu pengguna untuk mengambil swafoto menggunakan kamera utama. Ini membuatkannya hampir sama dengan Xiaomi 11 Ultra yang mempunyai bonggola kamera serupa dan skrin kecil di sebelah kamera utama.

Seperti siri telefon pintar vivo X70 dan vivo X60 sebelum ini, vivo bekerjasama dengan syarikat lensa Zeiss untuk menghasilkan kamera vivo X80.

Siri vivo X80 dijangka terdiri daripada vivo X80, vivo X80 Pro dan vivo X80 Pro+. Kamera vivo X80 Pro+ dijangka terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor ISOCELL GN1, kamera ultra-lebar 48MP dengan sensor Sony IMX598 dan dua kamera telefoto 50MP.

Untuk vivo X80 Pro pula, ia mungkin dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Samsung GN1 dan OIS, kamera ultra-lebar 48MP dengan sensor Sony IMX598, kamera potret dengan sensor Sony IMX663, OIS dan zum optikal 2x serta kamera telefoto periskop 8MP dengan zum 5x dan OIS.

vivo X80 mungkin dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX866 dan penstabilan imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto/potret 12MP dengan sensor Sony IMX663.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri vivo X80 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version