Ketua Pegawai Eksekutif Salesforce, Marc Benioff, mendedahkan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) kini melakukan antara 30% hingga 50% daripada jumlah kerja di syarikat tersebut. Menurut Benioff, penggunaan AI di Salesforce telah membantu melancarkan pelbagai tugas termasuk kejuruteraan perisian, penulisan kod, sokongan pelanggan dan khidmat pengguna.
Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai permulaan kepada satu “revolusi buruh digital”. AI bukan sekadar alat bantu kerana ia kini menjadi sebahagian besar daripada cara kerja mereka. Benioff menekankan bahawa walaupun AI mengambil alih banyak tugas, ia tidak bermakna pekerja manusia tidak diperlukan.
Sebaliknya, katanya, pekerja kini dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang lebih penting seperti pemikiran strategik, kreativiti dan penyelesaian masalah. Beliau membandingkan perubahan ini dengan pengenalan kalkulator dalam dunia perakaunan yang mempercepat kerja tanpa menggantikan peranan akauntan sepenuhnya.
Salesforce kini menggunakan sistem AI baharu mereka yang dikenali sebagai “Agent Force” iaitu satu platform AI yang bertindak seperti pekerja digital. Lebih daripada 5,000 pelanggan telah mula menggunakan Agent Force termasuk syarikat besar seperti Disney. Melalui ujian dalaman, Agent Force menunjukkan tahap ketepatan sehingga 93% dalam menyelesaikan pertanyaan pelanggan.
Ia merupakan sesuatu yang dianggap sebagai pencapaian besar dalam teknologi AI. Walaupun AI semakin meluas, Salesforce baru-baru ini telah mengurangkan lebih 1,000 pekerja, namun Benioff menafikan bahawa AI menjadi punca utama. Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa syarikat masih membuka peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang berkaitan AI dan jualan produk baharu.
Langkah Salesforce ini jelas menunjukkan bagaimana AI mula memainkan peranan penting dalam dunia pekerjaan moden. Meskipun masih banyak cabaran perlu ditangani, teknologi ini semakin membentuk masa depan pekerjaan di seluruh dunia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: CNBC

