Sebelum ini, kami melaporkan bahawa Amazfit GTR Mini akan dilancarkan di Malaysia pada Jumaat ini, 17 Mac 2023. Anda tidak perlu menunggu lama untuk tahu mengenai jam tangan pintar itu kerana kami akan berkongsikan kepada anda spesifikasi dan harga jam tersebut.
Di kedai rasminya di Shopee, Amazfit Malaysia menerbitkan sepanduk menunjukkan GTR Mini berharga RM599. Selain itu, pengguna boleh mendapatkan jam pintar ini pada harga istimewa RM579 semasa promosi jualan pertama sehari pada 17 Mac 2023 di mana pembeli juga akan mendapat kad Starbucks percuma bernilai RM20.
GTR Mini memaparkan paparan AMOLED 2.5D 1.28 inci, hayat bateri sehingga 14 hari, sistem navigasi lima satelit, 24/7 SPO2, pemantauan denyutan jantung dan tekanan, badan keluli tahan karat serta lebih 120 mod sukan.
Ia juga agak ringan berukuran 42mm pada 24.6g dan mempunyai ketebalan 9.25mm. Bagi pilihan warna pula, GTR Mini ditawarkan dalam warna Midnight Black, Misty Pink dan Ocean Blue.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

