Site icon TechNave BM

Anda boleh beli pakej khas Nothing Phone (1) dan Ear (stick) untuk dapat diskaun RM200

Nothing Malaysia akan menganjurkan sebuah promosi khas pada bulan ini iaitu Exclusive Combo Box yang menawarkan telefon pintar Nothing Phone (1) dan fon telinga wayarles Nothing Ear (stick) dalam sebuah pakej yang lebih murah berbanding jika anda beli dua produk itu secara berasingan.

Exclusive Combo Box oleh Nothing Malaysia ini akan dijual pada harga RM2,668 (8GB+256GB) dan RM2,968 (12GB+256GB) pada 4 hingga 13 November 2022. Ia akan dijual khas di Nothing Lazada Flagship Store dan Nothing Shopee Mall sahaja.

Jika anda beli dua produk ini secara berasingan, Nothing Phone (1) berharga RM2,399 manakala Nothing Ear (stick) pula berharga RM469, menjadikan harga keseluruhan kedua-dua produk ini adalah RM2,868. Sebaliknya, jika anda membeli pakej Exclusive Combo Box, anda boleh dapatkan penjimatan untuk kedua-dua produk sebanyak RM200.

Nothing Phone (1) adalah sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang dilancar di Malaysia pada bulan Julai lalu, di mana ia menampilkan corak Glyph Interface unik di bahagian belakang yang terdiri daripada 900 lampu LED. Corak ini boleh menyala berdasarkan beberapa fungsi seperti nada dering dan pengecasan.

Nothing Phone (1)
Nothing Ear (stick)

Nothing Ear (stick) pula adalah produk terbaru daripada Nothing, iaitu sepasang fon telinga wayarles yang mengutamakan keselesaan pemakai. Ia lebih ringan berbanding fon telinga Ear (1) namun tidak mempunyai pembatalan hingar aktif (active noise cancellation).

Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli pakej Nothing ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version