fbpx
More

    Ulasan Nothing Phone (1): Telefon kelas pertengahan dengan gimik tersendiri

    Apabila bercakap tentang telefon pintar yang paling digembar-gemburkan pada tahun ini, Nothing Phone (1) pasti adalah salah satu telefon yang diutarakan. Seawal tahun lalu, Nothing telah mencipta reputasinya dengan pelancaran fon telinga wayarles Nothing Ear (1) yang menampilkan rekaan lutsinar.

    Pada tahun ini, Nothing memperkenalkan telefonnya yang pertama iaitu Nothing Phone (1). Sungguh pun begitu, adakah rekaan fizikal telefon ini yang unik mampu membuatkannya lebih popular berbanding telefon lain dalam pasaran? Ayuh baca ulasan oleh penulis TechNave Bahasa Mandarin ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Bergaya dan menarik perhatian

    Ciri luaran yang paling menarik pada Nothing Phone (1) pastinya adalah kaca lutsinar dan efek cahaya yang berada di belakang peranti. Efek cahaya ini dinamakan sebagai Glyph Interface dan terdiri daripada 900 lampu LED bagi menghasilkan corak cahaya yang sangat menarik perhatian.

    Nothing Phone (1) sangat serupa dengan iPhone, dengan sisi lurus dan corak bulat di tengah-tengah permukaan belakang, serta butang kuasa berbentuk pil dan butang kelantangan semuanya diletakkan dalam susun atur yang sama
    Nothing Phone (1) menggunakan skrin OLED 6.55-inci 1080×2400, menyokong 120Hz
    Pembungkusan yang ringkas: hanya kadbod nipis, yang menyediakan telefon Nothing Phone (1), kabel Jenis-C dan pin slot kad SIM

    Daripada segi penampilan keseluruhan, Nothing Phone (1) nampak serupa seperti iPhone, terutamanya jika dilihat pada bingkai sisi yang rata serta susunan butang kuasa dan butang kawalan audio yang sama seperti iPhone. Lebih menarik adalah dua lensa kamera yang direka secara menegak serta bulatan untuk pengecasan wayarles di tengah-tengah telefon, yang nampak seperti iPhone 12 yang dipasang dengan sarung pengecas MagSafe.

    Nothing Phone (1) dilengkapi skrin OLED 6.55 inci yang menyokong HDR10+, kadar segar semula sehingga 120Hz dan penghasilan warna yang baik. Skrinnya hampir memenuhi bahagian hadapan telefon dan ia turut menempatkan pengimbas cap jari bawah skrin.

    Telefon ini mempunyai ukuran 159.2×75.8×8.3mm dan skrin 6.55 inci yang cukup besar untuk tontonan video. Ia juga tidak terlalu berat dan mudah untuk dikendalikan dengan satu tangan, manakala rekaan bahagian sisi yang rata juga membuatkannya sedap dipegang.

    Sistem pencahayaan Glyph Interface mempunyai bentuk C, garisan lurus, garisan penjuru dan corak titik. Cahaya ini mempunyai beberapa fungsi, seperti penunjuk notifikasi dan panggilan masuk. Nothing menawarkan 10 set nada dering yang turut mempunyai corak pencahayaannya sendiri, membolehkan anda untuk menetapkan corak pencahayaan unik untuk fungsi berlainan. Selain itu, anda juga boleh tetapkan nada dering dan pencahayaan unik untuk panggilan telefon daripada kenalan tertentu.

    Anda juga boleh gunakan nada dering anda sendiri dan Glyph Interface akan menjana kesan pencahayaan secara automatik berdasarkan audio nada dering tersebut. Selain itu, apabila Phone (1) dicas, lampu Glyph Interface akan menyala dari bahagian bawah untuk menunjukkan tahap pengecasan bateri. Apabila bateri dicas penuh, Glyph Interface akan menyala sepenuhnya.

    Cahaya Glyph Interface menunjukkan tahap pengecasan

    Jika anda mengatakan “OK Google” untuk memanggil Google Assistant, lampu Glyph Interface juga akan berkelip mengikut kelantangan pertuturan anda. Sewaktu pengecasan wayarles atau pengecasan wayarles berbalik dilakukan, lampu di sekeliling gelungan pengecas juga akan menyala.

    Apabila anda tidak ingin diganggu oleh nada dering dan pemberitahuan, anda boleh aktifkan Mod Glyph Up, letakkan telefon dengan skrin menghadap ke bawah dan ia akan memasuki mod senyap secara automatik. Sebarang notifikasi atau panggilan yang diterima hanya akan dipaparkan pada cahaya Glyph Interface, tanpa sebarang bunyi.

    Glyph Interface ini tidak terlalu memakan bateri. Apabila ia dihidupkan secara berterusan selama 10 minit, ia hanya menggunakan 0.5% daripada hayat bateri. Dalam penggunaan biasa, ia hampir tidak akan menjejaskan hayat bateri telefon.

    Selagi anda memilih nada dering yang berbeza, anda boleh menggunakan kesan pencahayaan LED yang berbeza

    Spesifikasi – Sekadar cukup untuk penggunaan harian

    • Skrin OLED 6.55 inci, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 778G+
    • RAM 8GB atau 12GB
    • Storan dalaman 256GB
    • Kamera utama 50MP (IMX 766) + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan pantas 33W, pengecasan wayarles 15W, pengecasan wayarles berbalik 5W
    • Sistem operasi NothingOS berdasarkan Android 12
    • Pilihan warna hitam dan putih

    Secara keseluruhan, Nothing Phone (1) tidak mempunyai banyak kejutan daripada segi spesifikasi. Ia menggunakan cipset Snapdragon 778G yang dibina khas, RAM 8GB atau 12GB dan storan dalaman 256GB iaitu spesifikasi yang agak standard untuk telefon kelas pertengahan.

    Baterinya berkapasiti 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 33W, pengecasan wayarles 15W dan pengecasan wayarles berbalik 5W. Perlu diingati bahawa palam pengecas tidak disertakan dalam kotak Nothing Phone (1), jadi anda perlu gunakan pengecas pihak ketiga untuk mengecas telefon ini.

    Cahaya Glyph Interface akan menyala apabila anda mengecas peranti lain dengan fungsi pengecasan wayarles berbalik (reverse wireless charging)

    Nothing turut menekankan supaya telefon ini tidak mempunyai banyak aplikasi remeh yang telah dipra-pasang dan hanya dilengkapi aplikasi asas oleh Google serta beberapa aplikasi penting. Ini pastinya amat dihargai oleh para pengguna yang mengutamakan antara muka ringan dalam telefon mereka, manakala rekaan antara muka Nothing juga nampak ringkas dan moden.

    Dengan animasi lancar daripada kadar segar semula 120Hz sewaktu anda meleret pada skrin, ia membuatkan Nothing Phone (1) rasa amat pantas dan responsif seperti air yang mengalir. Pengalaman ini juga membuatkannya rasa seperti telefon pintar premium dan bukannya kategori pertengahan.

    Secara ringkasnya, NothingOS adalah nama yang tepat untuk antara muka ini kerada pada asasnya ia tidak mempunyai apa-apa selain daripada sistem operasi Android 12 asli (stock).

    Prestasi – Tidak diabaikan walaupun fokus pada rekaan luaran

    Apabila prestasi Nothing Phone (1) kami disemak dalam penanda aras AnTuTu, ia memperolehi markah 591,631. 3DMark Wild Life Test pula mencatatkan 2,847 mata tertinggi dan 2,528 mata terendah, manakala kestabilan pula adalah 88.8% yang merupakan prestasi bagus.

    Markah penanda aras Geekbench untuk Nothing Phone (1)

    Berdasarkan pengalaman penulis, prestasi keseluruhan Nothing Phone (1) agak lancar, namun apabila kamera dihidupkan dan zum sebanyak 20x, telefon akan tersekat sedikit. Sewaktu beberapa aplikasi dibuka serentak dan penulis banyak kali bertukar aplikasi yang dipaparkan, beliau tidak mengalami sebarang lag. Penggunaan harian dalam media sosial, bermesej atau menonton video boleh dilaksanakan dengan cemerlang.

    Untuk bermain game pula, ia boleh memainkan kebanyakan game dalam talian popular dengan lancar. Penulis mencuba Mobile Legends dan sedikit lag hanya berlaku sewaktu kualiti grafik tertinggi dihidupkan. Penulis masih mencadangkan pengguna untuk menurunkan kualiti grafik jika anda inginkan kadar bingkai yang lebih sekata.

    Prestasi gaming adalah stabil dan badan telefon akan jadi hangat sedikit selepas bermain selama setengah jam, tetapi ia masih berada dalam julat normal.

    Tetapan grafik Mobile Legends

    Nothing Phone (1) direka dengan dwi-pembesar suara stereo dan kualiti bunyinya sangat bagus. Anda perlu ambil perhatian sewaktu memegang telefon ini secara lanskap kerana jari anda akan menutup pembesar suara dan menyekat bunyi.

    Daripada segi hayat bateri pula, selepas memainkan video YouTube pada kecerahan maksium selama tiga jam, tahap bateri menurun daripada 100% kepada 79%. Melihat pada cara ini, selagi anda tidak banyak menonton video penstriman dan bermain game, bateri Phone (1) boleh bertahan selama sehari.

    Bateri susut sebanyak 21% dalam masa 3 jam

    Kamera – Konfigurasi dwi-kanta yang agak baik dalam kelasnya

    Untuk telefon kelas pertengahan, spesifikasi kamera Nothing Phone (1) sebenarnya agak bagus. Ia mempunyai kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX766 yang menyokong penstabilan imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS), serta kamera ultra-lebar dengan sensor Samsung JN1. Ia menawarkan fungsi standard seperti potret, makro, selang masa dan banyak lagi.

    Gambar mod malam

    Walaupun dalam situasi malap, anda masih boleh mengambil gambar yang cantik dengan Night Mode. Sungguh pun begitu, anda masih perlu pegang telefon dengan lama dan stabil untuk gambar Night Mode yang lebih jelas.

    Malangnya, Nothing Phone (1) tidak mempunyai fungsi tambahan dalam kameranya. Telefon jenama lain mempunyai fungsi-fungsi tambahan menarik seperti Single Take dalam telefon Samsung, Director Mode dalam telefon OPPO dan Cloning Effect dalam telefon HUAWEI. Daripada segi ini, Nothing Phone (1) jauh ketinggalan.

    Kesimpulan – Telefon yang mengutamakan trend bergaya

    Sebagai sebuah jenama baharu, Nothing Phone (1) mempunyai penampilan yang segar dengan permukaan belakang yang lutsinar dan pencahayaan Glyph Interface yang mengagumkan. Dengan rekaan mirip iPhone, ia sememangnya berjaya dalam mendapatkan perhatian ramai.

    Sungguh pun ia tidak memiliki ciri dan spesifikasi dalam telefon yang lebih canggih, ia mempunyai pakej lengkap yang cukup untuk penggunaan lancar dalam kehidupan seharian. Sistem operasinya sangat hampir dengan Android 12 asli dan pasti dihargai oleh mereka yang tidak menggemari aplikasi remeh yang dipra-pasang.

    Nothing Phone (1) dijual di Malaysia pada harga RM2,399 untuk 8GB+256GB serta RM2,699 untuk 12GB+256GB. Pada pendapat penulis, telefon ini adalah berbaloi dengan harganya jika anda inginkan telefon pintar kelas pertengahan.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Diterjemahkan daripada TechNave CN

     

    Artikel Terkini

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X