fbpx
More

    Ulasan Nothing Phone (2a) – Telefon “mid-range” paling unik 2024?

    Selepas melancarkan Nothing Phone (2) sebagai sebuah telefon pintar andalan (flagship) pada tahun lalu, kini Nothing meluaskan katalog produknya dengan melancarkan telefon pintar kelas pertengahan yang pertama iaitu Nothing Phone (2a).

    Telefon ini menampilkan rekaan ikonik Nothing dengan cahaya Glyph Interface di belakangnya, namun dengan beberapa fungsi dan spesifikasi yang meletakkannya sebagai telefon kelas pertengahan. Dengan harga RM1,699 yang agak mampu milik, adakah ini membuatkannya lebih berbaloi untuk mereka yang mencari telefon murah? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Dari jauh, sudah boleh tahu ini peranti Nothing

    Dua telefon Nothing sebelum ini iaitu Phone (1) dan Phone (2) mempunyai ciri Glyph Interface berwarna putih di belakangnya yang membuatkan kedua-dua telefon itu jauh berbeza dengan peranti lain dan memberikannya perwatakan yang tersendiri. Kini Phone (2a) meneruskan lagi legasi tersebut dengan Glyph Interface di belakangnya, namun jumlah cahayanya sedikit sahaja dan tidak sama seperti Phone (2).

    Ia mempunyai tiga sahaja lampu Glyph Interface dan ia berada di bahagian separuh atas. Jadi jika selama ini anda pernah berangan untuk memiliki telefon Nothing namun tidak sanggup melaburkan wang yang banyak, kini anda boleh dapatkan telefon dengan estetika Nothing pada harga yang lebih murah.

    Rekaan belakang Phone (2a)
    Lingkaran berbentuk “S” yang unik
    Glyph Interface diaktifkan di bahagian belakang, dengan tiga lampu sahaja

    Satu lagi keunikan semua telefon Nothing adalah permukaan belakangnya yang lutsinar dan ini diteruskan lagi dalam Phone (2a). Ia menunjukkan komponen dalaman dengan lingkaran berbentuk “S” yang diinspirasikan daripada peta kereta api bawah tanah New York oleh Massimo Vignelli. Tidak ada telefon lain yang mempunyai rekaan seperti ini dan saya sendiri amat menyukainya.

    Sungguh pun begitu, permukaan belakang ini dibuat daripada plastik dan daripada situ anda boleh pegang dan rasa bahawa ini adalah telefon kelas pertengahan. Mujur sekali, ia mempunyai rangka aluminium bagi menghasilkan mutu binaan yang rasa kukuh dan padu. Ia juga mempunyai rating kalis air IP54 untuk menahan sebarang percikan air atau debu.

    Satu lagi perkara yang saya suka pada Phone (2a) adalah pada rekaan bonggol kameranya yang berada di bahagian tengah. Ia terdiri daripada dua lensa yang bersaiz sama dan tidak terlalu tebal. Memandangkan ia berada di tengah, apabila telefon ini diletakkan rata di atas meja dengan skrin menghadap ke atas, telefon ini tidak mempunyai masalah jengket di bahagian bucu seperti telefon lain yang mempunyai bonggol kamera di bahagian penjuru.

    Bonggol kamera di bahagian tengah dan tidak terlalu tebal
    Bahagian kiri menempatkan butang volume
    Bahagian kanan menempatkan butang kuasa
    Bahagian bawah menempatkan port USB-C, pembesar suara stereo dan dulang kad SIM

    Dua lensa ini juga membuatkannya nampak seperti sepasang “mata” dan membuatkannya sangat unik dan boleh dikenali daripada jauh. Satu fakta menarik tentang rekaan telefon ini adalah ia merupakan rekaan pertama oleh Nothing selepas penubuhannya pada 2020.

    Spesifikasi – Lengkap untuk “mid-range” pada 2024

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Nothing Phone (2a):

    • Skrin AMOLED 6.7 inci, resolusi 1084×2412, kadar segar semula 30-120Hz, kecerahan puncak 1,300 nits, kedalaman warna 10-bit
    • Cipset MediaTek Dimensity 7200 Pro, dibuat dengan nod proses 4nm TSMC
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman 256GB
    • Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Menyokong rakaman 4K 30fps, 1080p 120fps, penstabilan imej optikal (OIS)
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 45W
    • Pembesar suara stereo
    • Sistem operasi Android 14 dengan Nothing OS 2.5
    • Pengimbas cap jari dalam skrin

    Pertama sekali, saya ingin ulas mengenai skrin Nothing Phone (2a). Ia mempunyai ciri-ciri yang boleh dianggap standard untuk telefon kelas pertengahan yang dilancar pada 2024, termasuk panel AMOLED, resolusi FullHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Cuma, satu perkara yang mengagumkan saya adalah sempadan bezel nipis yang seragam di semua bahagian skrin, sesuatu yang jarang didapati dalam telefon kelas pertengahan oleh jenama lain.

    Pada pendapat saya, ini akan meningkatkan pengalaman sewaktu menonton video atau bermain game. Bezelnya sekadar 2.1mm sahaja, jadi ia tidak akan mengganggu tontonan anda. Warna yang dihasilkan dengan panel AMOLED ini memang nampak cantik dan terang, seperti yang boleh dijangka daripada panel tersebut.

    Sempadan bezel yang nipis di keempat-empat sisi meningkatkan pengalaman menonton video

    Satu kelemahan pada skrin ini adalah kecerahan puncaknya yang setakat 1,300 nits. Ini bukanlah bermaksud ia tidak boleh dilihat di bawah cahaya matahari terik, namun ia tidak setaraf dengan telefon pertengahan lain yang sudah menawarkan kecerahan puncak melebihi 1,500 nits.

    Pengimbas cap jari terletak di bahagian bawah skrin dan ia berfungsi dengan sangat pantas. Anda juga boleh membuka skrin dengan membuat pengimbasan muka dan ia berfungsi dengan baik.

    Untuk varian memori pula, Nothing hanya menawarkan satu sahaja untuk pasaran Malaysia iaitu RAM 12GB dengan storan dalaman 256GB. Malang sekali, ia tidak menyediakan slot kad untuk membesarkan storan dengan kad microSD.

    Apabila bercakap tentang telefon Nothing, pastilah ia didatangkan dengan sistem antara muka (UI) yang sangat ikonik iaitu Nothing OS 2.5. Apabila Phone (2a) dihidupkan buat kali pertama, perkara pertama yang anda lihat adalah skema warna monokrom pada semua unsur UI serta rekaan keseluruhan yang sangat minimalis. Semua logo aplikasi lalai (default) mempunyai warna hitam putih dan tidak mempunyai teks di bawahnya. Hanya logo aplikasi pihak ketiga sahaja yang mempunyai warna.

    Home Screen dan App Drawer dalam Nothing Phone (2a), ia menggunakan warna monokrom untuk kebanyakan unsur UI kecuali aplikasi pihak ketiga yang anda muat turun sendiri
    Senarai widget khas daripada Nothing

    Nothing menawarkan pelbagai widget yang unik jika anda ingin menghiaskan lagi home screen anda untuk rekaan yang unik. Selain itu, ia juga tidak mempunyai sebarang perisian remeh (bloatware) selain daripada beberapa aplikasi Nothing seperti Nothing X yang dikhaskan untuk fon telinga jenama tersebut.

    Sistem operasi dalam Phone (2a) menggunakan Android 14 dan ia akan menerima kemas kini utama selama tiga tahun serta kemas kini keselamatan selama empat tahun. Ini adalah sesuatu yang standard untuk peranti kelas pertengahan dan membuatkan peranti ini relevan sehingga 2029.

    Beberapa ciri unik yang diperkenalkan dalam Nothing OS ini termasuklah Smart Clean untuk menyusun serpihan fail (file fragments) bagi mengekalkan kelajuan baca-dan-tulis (read-and-write speeds) yang tinggi dalam storan, dan NTFS Optimisation untuk meningkatkan kelajuan sewaktu memindahkan fail ke dalam komputer Windows. Ia juga mempunyai RAM Booster untuk membesarkan RAM secara maya, namun ini adalah ciri yang sudah standard dalam telefon jenama lain.

    Dengan cahaya Glyph Interface, Nothing OS juga menawarkan fungsi kawalan untuk cahaya tersebut. Ia boleh menyala mengikut corak nada dering, menunjukkan detik masa (timer) dan tahap volume. Ia juga boleh menyala mengikut rentak muzik yang dimainkan, jika anda ingin hasilkan sebuah “disko kecil”.

    Anda juga boleh menggunakan Glyph Composer untuk mencipta sendiri corak cahaya pada lampu Glyph Interface yang akan menyala sewaktu anda menerima panggilan telefon. Malangnya, ia tidak boleh menunjukkan tahap pengecasan seperti yang boleh dilakukan pada Phone (2).

    Pelbagai fungsi yang boleh diubah untuk lampu Glyph Interface di belakang
    Glyph Composer membenarkan anda cipta corak pencahayann sendiri pada lampu Glyph Interface

    Saya masih berpendapat bahawa Glyph Interface ini masih lagi sekadar gimik, namun sekurang-kurangnya kini jika anda berminat dengan gimik ini, anda boleh mendapatkannya dalam sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang tidak terlalu mahal.

    Prestasi – Sangat memuaskan!

    Berikut adalah hasil penanda aras yang kami sudah lakukan untuk Nothing Phone (2a):

    Hasil penanda aras Geekbench dengan peranti yang berprestasi serupa
    Hasil penanda aras 3DMark yang menunjukkan prestasi stabil walaupun selepas sesi grafik intensif selama 20 minit

    Telefon ini menggunakan cipset MediaTek Dimensity 7200 Pro yang dibina menggunakan nod proses 4nm oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC). Dalam sebuah video promosi, Nothing mengatakan cipset tersebut telah dibina khas untuk Phone (2a), hasil kerjasama di antara Nothing dan MediaTek.

    Untuk kegunaan harian, saya tidak mempunyai sebarang rungutan mengenai telefon ini kerana ia boleh membuka pelbagai aplikasi seperti media sosial, pelayar web dan permesejan dengan sangat lancar. Sewaktu bermain game pula, pelbagai game popular seperi COD Mobile dan Genshin Impact boleh dimainkan dengan selesa pada peranti ini. 

    Genshin Impact boleh dimainkan dengan selesa pada tetapan grafik sederhana
    PUBG boleh dimainkan dengan selesa walaupun pada tetapan grafik tinggi
    COD Mobile juga boleh dimainkan dengan tetapan grafik tinggi
    COD Warzone dalam tetapan grafik medium dengan selesa

    Phone (2a) mempunyai HyperEngine 5.0 yang kononnya boleh mengekalkan kadar bingkai (frame rate) sekata sambil mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 18%. Saya tidak pasti sama ada ia memang memenuhi dakwaan tersebut, terutamanya daripada segi kecekapan tenaga, namun sepanjang saya bermain game, saya tidak pernah mengalami penurunan kadar bingkai yang mendadak atau lag melampau. Jika saya mengalami lag sekali pun, itu adalah kerana cipset Dimensity 7200 Pro tidak boleh menghasilkan kuasa grafik yang mencukupi untuk sesetengah game.

    Dengan kapasiti bateri sebesar 5,000mAh, ia memang boleh bertahan selama lebih daripada sehari dengan selesa. Untuk pengecasannya pula, ia menyokong kadar 45W namun sayangnya pengecas tidak disertakan bersama kotak. Saya mengecasnya menggunakan pengecas pihak ketiga berkadar 65W dan ia mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit untuk mengecas penuh. Malangnya, Glyph Interface tidak menunjukkan tahap pengecasan seperti yang terdapat pada Phone (2) sebelum ini.

    Pengecasan daripada 2% kepada 99% mengambil masa 1 jam 17 minit (1:36pm hingga 2:53pm)

    Seterusnya saya mahu ulas tentang prestasi kameranya. Saya merasakan kualiti kameranya boleh diterima untuk telefon kelas pertengahan, di mana ia boleh mengambil gambar yang sangat cantik di bawah cahaya matahari terik, namun sebaik sahaja ia berada dalam situasi dalam bangunan (indoors) atau malap, ia menghasilkan gambar dengan pemprosesan yang tinggi (overprocessed). Warnanya mungkin akan pekat sedikit berbanding warna dalam dunia sebenar, namun jurang dinamik dan kontrasnya boleh diterima.

    Kualiti kamera ultra-lebarnya juga sama seperti kamera utama, kecuali dalam situasi malap kerana ia nampak sangat kabur. Ketiadaan kamera telefoto bermaksud ia tidak mempunyai kebolehan zum yang jauh, malah zum digitalnya hanya boleh pergi sejauh 10x. Gambar yang diambil setakat 3x masih nampak kemas, namun apabila anda pergi lebih jauh daripada itu, gambar mula nampak pecah.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Zum 2x
    Zum 2x
    Gambar ultra-lebar
    Kamera ultra-lebar
    Gambar pada waktu malam
    Gambar pada waktu malam
    Gambar swafoto pada waktu siang
    Gambar swafoto pada waktu malam

    Gambar swafoto juga nampak cantik, dengan penghasilan tona kulit yang seimbang dan tidak banyak pemprosesan (overprocessing). Jika anda lebih meminati mod potret, potongan antara subjek dengan latar belakang juga nampak kemas.

    Daripada segi video, ia boleh merakam dalam resolusi 4K pada kadar bingkai 30fps dengan kualiti mirip mod fotografi. Kamera ini mempunyai penstabilan imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS) dan saya amat berpuas hati dengan penstabilannya. Walaupun saya merekod sambil berjalan, video masih nampak sangat stabil seperti telefon yang lebih mahal.

    Kesimpulan – Telefon Nothing untuk orang yang berjimat

    Jelas sekali, Nothing Phone (2a) dipasarkan untuk golongan pengguna yang berminat dengan falsafah produk Nothing namun tidak sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan Nothing Phone (2a). Dengan harga RM1,699 sahaja, anda boleh menikmati hampir segalanya yang unik tentang telefon Nothing, terutamanya pada sistem operasi Nothing OS yang merupakan tarikan utama untuk jenama ini.

    Selain itu, anda juga masih boleh mendapatkan gimik lampu Glyph Interface namun dalam versi yang lebih ringan, kerana hanya sebahagian kecil sahaja daripada permukaan belakang Phone (2a) dilitupi dengan lampu tersebut. Ini merupakan salah satu lagi keunikan Nothing yang pasti akan menarik perhatian orang di sekeliling anda.

    Jika anda tidak berminat dengan Nothing OS atau Glyph Interface, ia tidak mempunyai banyak ciri yang unik jadi saya rasa lebih elok anda dapatkan telefon jenama lain. Alternatif yang sesuai termasuklah Samsung Galaxy A35 5G (RM1,699) jika anda inginkan telefon yang nampak berprofil rendah, realme 12 Pro+ 5G (RM1,599) jika anda inginkan rekaan telefon yang dibuat daripada kulit (leather) atau OPPO Reno11 (RM1,899) jika anda inginkan telefon kelas pertengahan yang mengetengahkan fungsi fotografi.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan Nothing Phone (2a) – Telefon “mid-range” paling unik 2024?

    Selepas melancarkan Nothing Phone (2) sebagai sebuah telefon pintar andalan (flagship) pada tahun lalu, kini Nothing meluaskan katalog produknya dengan melancarkan telefon...

    Google TV siarkan gerhana matahari di lokasi terbaik secara percuma

    Gerhana matahari 2024 telah mendapat perhatian yang besar dengan berjuta-juta orang dijangka akan ke lokasi tontonan utama. Bagi mereka yang tidak dapat...

    OPPO umumkan pengenalan AI Eraser ke siri Reno11: Alat penyuntingan foto AI generatif

    OPPO Malaysia telah mendedahkan bahawa alat AI Eraser akan tersedia tidak lama lagi kepada pengguna siri Reno11, membawa keupayaan penyuntingan foto AI...

    Meta label kandungan yang dijana AI di Instagram, Facebook dan Threads mulai Mei ini

    Meta mengumumkan pembaruan kepada dasar kandungan yang dihasilkan oleh AI dengan memperkenalkan label "Dibuat dengan AI" yang akan dilaksanakan di Instagram, Facebook...

    realme GT6 dikesan di SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia selepas pelancaran global

    realme sedang bersiap sedia untuk melancarkan telefon pintar terbaharunya, realme GT6 berikutan kejayaan pendahulunya, GT5. Walaupun butiran khusus mengenai GT6 masih tidak...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X