fbpx
More

    Ulasan Lenovo Legion Go – Peranti “PC gaming” mudah alih yang besar dan syok, tapi…

    Pasaran peranti gaming PC mudah alih (handheld) dalam Malaysia kini menjadi semakin rancak, dengan produk seperti ROG Ally dan MSI Claw. Kini giliran Lenovo Malaysia pula memperkenalkan peranti gaming mudah alihnya sendiri iaitu Lenovo Legion Go. Kami telah pun menggunakannya selama dua minggu dan berikut adalah ulasan yang telah dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris.

    Seperti yang sudah sedia maklum dalam kalangan penggiat gamers Malaysia, Lenovo Legion Go adalah sebuah peranti yang sangat besar. Mungkin ia sukar untuk dibayangkan kerana hanya setelah penulis memegang sendiri Legion Go, baru penulis sedar betapa besar dan beratnya peranti gaming ini.

    Apabila ia diletekkan bersebelahan dengan Nintendo Switch, ia nampak jauh berbeza. Masuk akal juga jika anda mengatakannya seperti sebuah Switch ciplak yang lebih besar.

    Ia didatangkan dengan sebuah beg khas
    Perbandingan saiz dengan Nintendo Switch (bawah)
    Pengawal Legion TrueStrike mempunyai banyak butang
    Penggunaan untuk FPS Mode

    Bercakap tentang Switch, Legion Go mempunyai pelbagai persamaan dengannya. Persamaan yang paling ketara adalah pengawal sisi (side controllers) yang boleh dicabut, di mana pengawal bahagian kanan boleh ditukarkan kepada mod FPS. Kedua-dua pengawal mempunyai banyak butang, jadi ia boleh jadi satu kelebihan jika anda gemar mengubahsuai kekunci dalam game. Proses mencabut dan memasang semula kedua-dua pengawal rasa lancar dan kukuh.

    Jika anda berpendapat bahawa berat peranti ini akan menjadi satu masalah, penulis mengatakan ia sebenarnya bukanlah satu isu yang besar. Sepanjang penggunaan, penulis sering memainkannya sambil meletakkan sebuah bantal di atas perut. Skrinnnya yang berukuran 8.8 inci adalah cukup besar, jadi saya tidak perlu meletakkanya dekat dengan muka. Anda juga boleh menggunakan tongkat (kickstand) di belakang jika anda ingin meletakkannya atas meja.

    Bahagian atas dengan butang kuasa, bicu audio, lohong pengudaraan, pengimbas kad microSD, port USB-C dan pengawal volume
    Tongkat yang besar di belakang

    Secara keseluruhan, binaan Legion Go rasa sangat padu, namun bagaimana pula dengan perisian dan sistem operasinya? Seperti ROG Ally, Legion Go menggunakan Windows 11 namun ia tidak dioptimumkan secara penuh, jadi anda mungkin akan mengalami beberapa masalah dengannya. Sungguh pun begitu, saya ingin ulas tentang Legion Space Launcher terlebih dahulu.

    Jika dibandingkan dengan ROG Ally, Legion Space adalah lebih bagus namun ia masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Contohnya, resolusi gambar dalam library untuk setiap platform gaming nampak agak kabur. Seksyen cloud gaming dan Android Games pula buat masa ini tidak boleh digunakan, manakala harga yang dipaparkan dalam Game Store pula adalah dalam mata wang USD. Penulis merasakan seksyen yang akan banyak digunakan adalah Performance dan Controller.

    Laman utama dalam Legion Space
    Resolusi gambar dalam Legion Space nampak kabur dan tidak menarik. Lebih pantas jika anda buka terus game daripada desktop
    Seksyen performance

    Dalam seksyen Performance, anda boleh nampak beberapa tetapan yang selalu diakses. Mod Performance dan Power-Saving ada dalam seksyen ini, atau anda boleh laraskan sendiri tetapan prestasi mengikut kegemaran anda. Untuk penulis sendiri, tetapan yang terbaik untuk mendapatkan hayat bateri paling panjang adalah dengan menetapkan TDP kepada 5W (boleh dinaikkan sehingga 30W), kadar segar semula 60Hz dan resolusi 1080p.

    Dalam seksyen Controller, anda boleh lihat pelbagai tetapan butang untuk kedua-dua pengawal. Butang Y1, Y2, Y3, M2 dan M3 semuanya dimatikan secara lalai (default), jadi anda boleh hidupkannya untuk tindakan tertentu dalam game. Sungguh pun begitu, tetapan yang digunakan tidak akan dipindahkan ke dalamFPS Mode pada pengawal bahagian kanan, jadi anda perlu tetapkannya semula untuk digunakan dalam FPS Mode.

    FPS Mode memerlukan tetapan kekunci yang berbeza
    Butang XYBA dimatikan secara lalai (default), dan lebih pelik, butang RT, M3 dan Y3 serta wheeler tidak konsisten dalam game FPS yang berlainan
    Butang FPS Mode boleh digunakan sebagai input tetikus, papan kekunci atau Numpad

    Pada pendapat penulis, ini adalah masalah terbesar dengan Legion Go. Sebaik sahaja FPS Mode dihidupkan, butang yang hanya boleh digunakan adalah RB/M1 dan M2 yang bertindak sebagai butang tetikus kiri dan kanan. Laman pengawal mengatakan RT, M3 dan Y3 serta roda (wheeler) boleh digunakan, namun ia tidak berfungsi langsung dalam beberapa game FPS yang penulis mainkan. Butang XYBA pula akan dimatikan secara automatik, jadi jika anda tidak sedar, anda akan dibiarkan sahaja dalam game tanpa mengetahui bagaimana untuk mengambil senjata atau reload.

    Senang cerita, FPS Mode itu lebih baik diabaikan sahaja. Anda masih boleh menetapkan butang yang ingin digunakan dalam pengawal bahagian kanan, namun ini adalah agak leceh. Jika anda ingin berehat selepas bekerja seharian dengan bermain game, penulis hanya mahu terus bermain game tanpa perlu menetapkan semula butang XYBA, M3 dan Y3 dalam setiap sesi.

    Memandangkan butang XYBA kadang-kala dimatikan secara automatik, saya tidak boleh mengambil senjata ini dalam game
    Sukar untuk saya mengetahui bagaimana saya boleh gantikan butang tetikus tengah dengan pengawal ini

    FPS Mode ini adalah idea yang bagus, namun pelaksanaannya tidak memenuhi tujuan asalnya. Memandangkan hanya Legion Go yang menawarkan fungsi sedemikian, tiada pembangun game yang kisah untuk memperkenalkan butang lalai (default command buttons) dalam peranti ini, jadi gamers perlu melakukan konfigurasi butang itu sendiri. Bayangkan jika Nintendo Switch mengarahkan anda untuk tetapkan sendiri semua butang pada joy-cons dan anda perlu ulang proses itu sekali lagi pada konsol yang lain.

    Seperti yang disebut tadi, Windows 11 masih tidak dioptimumkan sepenuhnya untuk pengalaman gaming mudah alih. Entah kenapa, apabila saya membuka game baharu dalam Legion Go, ia boleh bertindak aneh dengan membuka tetingkap kecil. Saya agak terkejut yang ia tidak boleh memainkan Ghostwire: Tokyo dalam Epic Games atau Doom Eternal. Sudah tentu, EA adalah platform gaming yang paling teruk.

    Tangkapan skrin daripada game Sifu
    Saya amat menikmati Guardians of the Galaxy dalam Legion Go
    Saya boleh bermain GotG dengan lancar daripada pukul 8pm sampai 10pm

    Walaupun dengan kritikan ini, penulis bukanlah mengecam teruk Legion Go. Anda masih boleh berseronok dengan banyak game namun bukanlah dengan pengalaman yang sempurna. Apabila anda sudah menetapkan saiz tetingkap dan resolusi untuk beberapa game, penulis yakin anda akan menikmati pengalaman yang baik. Malah, penulis amat menyukai saiz skrin yang lebih besar dan hayat bateri yang lebih lama berbanding peranti pesaing (bergantung kepada game yang dimainkan).

    Secara amnya, bermain game seperti Sifu dengan Legion Go akan bertahan selama dua jam. Jika anda bermain game gred AAA (seperti Guardians of the Galaxy) dalam tetapan grafik rendah, baterinya juga boleh bertahan dalam masa yang serupa. Pengecasan penuh mengambil masa yang agak lama, lebih kurang dua jam. Anda juga boleh mengecas sambil bermain game, namun saya tidak mencadangkannya kerana hayat baterinya tidak akan naik.

    Satu aksesori yang menarik adalah cermin mata gaming Legion Glasses. Penggunaannya amat mudah difahami dan ia tidak memerlukan proses pemasangan, anda hanya perlu masukkan kabel USB-C ke dalam Legion Go. Selepas menghubungkan kabel, semua kandungan yang selalunya dipaparkan pada skrin, sebaliknya akan dipaparkan pada kaca mata. Penulis menggunakan Legion Glass dengan sebuah komputer riba gaming melalui USB-C dan saya kagum dengan prestasinya (bayangkan anda bermain game lumba kereta dengan memakai cermin mata ini). Sungguh pun begitu, saya hanya boleh memakainya selama sejam sebelum kepala saya rasa berat.

    Anda masih boleh memakai Legion Glasses, walaupun anda memakai cermin mata
    Bahagian sisi
    Game yang dipaparkan dalam Legion Glasses
    Boleh dihubungkan dengan mana-mana komputer yang mempunyai port USB-C

    Seperti yang anda boleh lihat, penulis mempunyai pandangan yang berbelah bahagi terhadap Legion Go. Dibandingkan dengan ROG Ally, skrin Legion Go yang lebih besar dan bateri yang lebih tahan lama membuatkannya nampak lebih menarik, di samping Legion Glasses untuk pengalaman yang lebih mengasyikkan (ia dijual berasingan pada harga RM1,819).

    Pada masa yang sama, FPS Mode adalah sesuatu yang agak mengecewakan kerana anda perlu tetapkan sendiri kekuncinya, yang mungkin boleh memakan masa agak lama. Pengoptimuman Windows 11 masih belum lengkap, namun anda boleh selesaikan beberapa isu selepas melaraskan tetapan game.

    Legion Go dan ROG Ally adalah dua buah produk yang sangat serupa, namun dengan harga yang jauh berbeza. Legion Go berharga RM3,999 manakala ROG Ally Z1 Extreme pula berharga RM3,299 sahaja, jadi anda boleh fikir sendiri mana yang lebih berbaloi untuk wang anda. Lebih-lebih lagi, ASUS sudah menawarkan beberapa penambahbaikan kualiti penggunaan (quality-of-life, QoL) untuk ROG Ally yang memberi pengalaman UI lebih menarik.

    Mungkin dalam masa beberapa bulan lagi, Lenovo akan menambah baik Legion Go dengan kemas kini QoL sendiri, terutamanya dalam FPS Mode dan pengoptimuman Windows 11. Lebih penting, penulis berharap Legion Go akan menerima sokongan yang lebih lama dan tidak diabaikan seperti siri Legion Phone Duel.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • AMD Ryzen Z1 Extreme dengan RDNA Graphics
    • RAM LPDDR5X 16GB
    • Storan PCIe 4.0 NVMe M.2 2242 1TB
    • Ukuran 0.7mm x 298.83mm x 131mm, berat 854 gram
    • Skrin 8.8 inci, resolusi Quad HD+ (2560×1600), kecerahan 500 nits, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 144Hz, gamut warna DCI-P3 97%, Active Area Ratio 83%, menyokong 10 titik sentuhan jari, kaca Gorilla Glass
    • Fungsi – Legion Space, Xbox Game Pass Ultimate (percubaan selama 3 bulan), FPS Mode dan pengawal Legion TrueStrike Controllers yang boleh dicabut
    • Bateri 49.2 WHr dengan Super Rapid Charge, kapasiti bateri 900mAh
    • Port – bicu audio 3.5mm, USB-C 4.0 (DisplayPort 1.4 dan Power Delivery 3.0), pengimbas kad microSD (sehingga 2TB)
    • Hubungan – 2×2 WiFi 6E (802.11 ax), Bluetooth 5.2
    Mungkin Legion Go akan menjadi lebih bagus dengan sokongan lanjut pada masa hadapan

    Kelebihan – Skrin yang lebih besar (8.8 inci) dan bateri lebih lama berbanding ROG Ally

    Kekurangan – FPS Mode ada potensi dan kelebihannya sendiri, namun sukar untuk digunakan dengan pelbagai game FPS. Windows 11 masih memerlukan banyak optimisasi

    Kesimpulan – Jika anda tidak kisah mengambil masa untuk menetapkan butang dalam FPS Mode, ia mungkin berbaloi dengan harga RM3,999

    [Diterjemahkan daripada TechNave Bahasa Inggeris]

     

    Artikel Terkini

    nubia Flip 5G dilancar di Malaysia: Telefon lipat dengan skrin 6.9″, SD 7 Gen...

    Selepas dilancarkan untuk pasaran antarabangsa pada bulan Februari lalu, nubia Flip 5G akhirnya sudah tiba ke pasaran Malaysia sebagai telefon lipat pertama...

    Ini dia 4 fungsi Samsung Galaxy AI yang “power” gila!

    Pada awal tahun ini, Samsung telah melancarkan siri telefon pintar Samsung Galaxy S24 yang bukan sahaja menampilkan spesifikasi tercanggih untuk tahun ini,...

    realme akan lancarkan siri telefon P Series 5G pada 15 April 2024

    Beberapa hari lalu, realme berkongsi sebuah video pendek yang mengacah kehadiran siri telefon pintar baharu pada masa akan datang. Kini syarikat teknologi...

    HUAWEI tawarkan rebat sehingga RM500 untuk tablet MatePad Pro dan peranti lain

    Sempena sambutan Hari Raya Aidilifitri yang semakin hampir, HUAWEI Malaysia akan menganjurkan promosi khas untuk produk-produknya dengan program pertukaran Trade-In Programme. Dengan...

    ASUS tawarkan pakej komputer riba dengan TNG e-Duit Raya sehingga RM150

    Sambut Raya tahun ini bersama ASUS dengan membeli model-model terpilih sambil menerima Touch N Go (TNG) e-Duit Raya. Promosi pakej komputer riba...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X