fbpx
More

    Ulasan Nothing Phone (2) – Betul-betul berbaloi atau sekadar gimik?

    Sewaktu Nothing melancarkan telefon pintar pertamanya, Nothing Phone (1), pada Julai 2022, mereka cuba untuk menghasilkan sebuah telefon pintar yang jauh berbeza daripada kebanyakan telefon lain dengan menghasilkan rekaan separa lutsinar di bahagian belakangnya. Falsafah separa lutsinar ini diteruskan dalam fon telinga wayarles Nothing Ear (1), Ear (2) dan Ear (stick).

    Rekaan tersebut menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada para pengguna dan media, ada yang penuh dengan perasaan kagum dan ada yang memandang enteng pada syarikat teknologi baharu ini. Setahun kemudian, Nothing Phone (2) sudah dilancar pada Julai lalu dan ia mengekalkan sifat separa lutsinar pada permukaan belakangnya, namun kali ini dengan sedikit perbezaan pada cahaya LED dan kategori spesifikasinya. 

    Dengan harga mencecah RM2,999, adakah ini telefon yang paling sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya

    Rekaan – Tidak jauh berbeza dengan Phone (1)

    Jika Nothing Phone (1) mengagumkan anda dengan rekaannya yang sangat unik pada tahun lepas, Nothing Phone (2) mungkin akan membosankan anda kerana Nothing masih mengekalkan estetika yang serupa untuk telefon kedua ini. Perkara yang paling menonjol pastinya adalah permukaan belakang lutsinar yang menunjukkan cahaya LED Glyph Interface yang boleh menyala secara seragam dengan nada dering telefon.

    Sungguh pun demikian, masih terdapat beberapa perbezaan kecil pada Phone (2). Cahaya LED itu kini mempunyai 33 zon pencahayaan berasingan yang bermaksud ia boleh mencipta lebih banyak corak cahaya berbanding Phone (1). Selain itu, permukaan belakangnya melengkung sedikit di bahagian sisi kanan dan kiri, membuatkannya lebih selesa dipegang. Phone (1) sebelum ini mempunyai sisi yang rata sepenuhnya dengan bucu yang tajam, jadi perubahan pada Phone (2) ini adalah sesuatu yang dialu-alukan.

    Saya merasakan rekaan kali ini tidak banyak perkara untuk dibanggakan. Akan tetapi mungkin rekaan lutsinar ini adalah falsafah yang ingin dikejar oleh Nothing sebagai keunikan mereka, jadi jika anda suka dengan rekaan yang berani dan berlainan seperti Phone (2), telefon ini memang akan membuatkan anda lain daripada lain.

    Phone (2) ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam atau putih. Warna untuk unit ulasan yang diberikan kepada kami adalah hitam dan saya berpendapat ini adalah warna yang paling sesuai kerana ia menyerlahkan lagi cahaya putih yang dihasilkan daripada lampu LED Glyph Interface. 

    Bercakap tentang Glyph Interface, ia kini bukan sahaja boleh menyala untuk menunjukkan nada dering dan notifikasi, malah kali ini ia mempunyai beberapa fungsi tambahan seperti kira detik (sebuah lampu akan menyala apabila anda set masa, kemudian ia akan dipadamkan perlahan-lahan apabila masa semakin suntuk) dan penanda aras volume (sebuah lampu akan menjadi lebih terang apabila anda meningkatkan volume).

    Apabila anda memulakan kira detik (timer), sebuah lampu akan menyala penuh (kiri), kemudian ia akan padam secara perlahan-lahan, serentak dengan kiraan masa yang semakin suntuk (kanan). Fungsi ini juga digunakan untuk volume
    Lampu ini pula menunjukkan kapasiti bateri sewaktu mengecas. Apabila bateri penuh, ia akan menyala sepenuhnya

    Phone (2) menawarkan 10 corak pencahayaan unik bersama nada deringnya, namun baru untuk kali ini ia turut memperkenalkan aplikasi Nothing Composer, di mana anda boleh cipta sendiri corak pencahayaan dan nada dering anda.

    Jadi adakah Glyph Interface ini fungsi yang bermanfaat atau sekadar gimik? Berdasarkan pengalaman saya, ia adalah sebuah tarikan yang menarik untuk dibualkan, namun hanya untuk beberapa hari pertama sahaja. Selepas saya penat bermain dengan Glyph Interface ini, saya terus melupakannya dan tidak berinteraksi dengannya langsung. Mungkin ia boleh jadi agak berguna untuk mereka yang kerap meletakkan telefon di atas meja dengan skrin menghadap ke bawah, namun pastikan anda melengkapkan pelindung skrin yang berkualiti tinggi pada telefon ini untuk mengelakkan kesan calar.

    Anda boleh pilih di antara 10 nada dering dan corak pencahayaan sedia ada (kiri), atau anda boleh cipta sendiri dengan Nothing Composer (kanan)

    Saya sebenarnya kecewa sedikit kerana saya mengharapkan Phone (2) untuk mempunyai Glyph Interface yang boleh menghasilkan warna selain daripada putih, namun apakan daya. Mungkin ia akan diperkenalkan dalam Phone (3) atau telefon-telefon seterusnya. 

    Spesifikasi – Bukan lagi kelas pertengahan

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Nothing Phone (2):

    • Skrin OLED 6.7 inci, resolusi 2412×1080, kadar segar semula 1Hz – 120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz, kecerahan puncak 1,600 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman 256GB atau 512GB
    • Kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX890 dan OIS + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 4,700mAh
    • Pengecasan pantas 45W, pengecasan wayarles 15W, pengecasan berbalik 5W
    • Perisian Nothing OS 2.0 berdasarkan Android 13, akan menerima kemas kini utama selama tiga tahun, kemas kini keselamatan selama empat tahun
    • Cahaya LED Glyph Interface di belakang
    • Rating kalis air IP54
    • Pembesar suara stereo, port USB-C
    • Pengimbas cap jari dalam skrin

    Tidak seperti Nothing Phone (1) yang dipasarkan sebagai telefon pintar kelas pertengahan, Nothing Phone (2) mempunyai pelbagai spesifikasi yang membuatkannya lebih hampir kepada kategori telefon andalan (flagship). Ini termasuklah cipset Snapdragon 8+ Gen 1 yang boleh menghasilkan prestasi pantas untuk pelbagai kegunaan, termasuklah gaming yang berat.

    Saya juga amat menyukai skrin OLED 6.7 inci yang digunakan pada Phone (2). Sebarang video dan filem nampak sangat cantik dengan penghasilan warna yang terang, malah kecerahan sehingga 1,600 nits membuatkannya mudah digunakan di bawah cahaya matahari terik. Lebih-lebih lagi, sempadan bezel yang nipis dan seragam di keempat-empat sisi meningkatkan lagi kualiti tontonan saya. Tidak banyak yang boleh dikritik pada skrin Phone (2).

    Segala media yang dipaparkan pada skrin telefon ini nampak cantik

    Untuk audio, Phone (2) mempunyai pembesar suara stereo yang boleh menghasilkan bunyi yang jelas, namun bunyinya tidak kuat walaupun pada volume tertinggi. Saya merasakan pembesar suaranya sama sahaja dengan lambakan telefon lain dalam pasaran.

    Satu lagi ciri menarik pada Phone (2) ialah perisian Nothing OS 2.0 yang sangat serupa dengan Android 13 versi asal (stock) dan mengutamakan sifat minimalis. Jika dibiarkan pada tetapan lalai (default), skrin utama tidak mempunyai banyak teks dan sebaliknya sekadar mempunyai logo ringkas untuk aplikasi yang kerap digunakan seperti Galeri, Kamera, Telefon, Mesej, Kenalan dan kemudahan-kemudahan Google. Ia juga mempunyai warna hitam putih monokrom.

    (Kiri dan tengah) Skrin utama, (kanan) App Drawer

    Secara peribadi, saya suka dengan konsep minimalis ini namun saya kurang menggemari warna monokrom pada antara mukanya (UI). Tapi saya yakin pasti ada yang berkenan dengan skema warna ini, malah Nothing OS 2.0 juga menyediakan pelbagai widget khas untuk akses pantas kepada fungsi kegemaran.

    Untuk memori, telefon ini tidak menyediakan sebarang fungsi RAM tambahan secara maya, namun memandangkan varian yang dijual di Malaysia sudah ditawarkan dengan RAM 12GB, saya rasa fungsi pengembangan RAM itu tidak diperlukan. Malang sekali, slot kad memori microSD untuk pengembangan storan juga tidak ada.

    Prestasi – Tahap flagship untuk 2022

    Dengan cipset Snapdragon 8+ Gen 1, anda pasti menjangkakan prestasi yang pantas daripada Phone (2). Sebelum mengulas pengalaman saya tentangnya, mari kita lihat dulu markah penanda aras yang telah kami lengkapkan:

    Sepanjang saya menggunakan telefon ini, saya boleh membuka sebarang aplikasi dengan pantas tanpa lag yang jelas. Sewaktu bermain game berat seperti Asphalt 9 pun, saya boleh memainkannya dalam grafik tertinggi tanpa penurunan frame rate yang ketara. Walaupun dengan ketiadaan komponen khas untuk penyejukan, saya tidak merasa panas pada permukaan telefon ini sewaktu bermain game.

    Sungguh pun begitu, saya merasakan ia bukanlah telefon dengan prestasi terpantas untuk harganya. Ini bukannya telefon gaming, jadi anda tidak boleh menjangkakan Phone (2) untuk menjana prestasi tertinggi dalam tempoh yang lama dan berterusan.

    Boleh memainkan game Asphalt 9 dengan tetapan grafik tertinggi, tanpa sebarang masalah

    Hayat baterinya juga cemerlang. Walaupun kapasiti 4,700mAh dalamnya tidak sepadan dengan bateri 5,000mAh yang terdapat pada telefon lain yang lebih murah, baterinya masih boleh bertahan selama lebih daripada sehari. Jika saya memulakan hari dengan bateri yang penuh, pada waktu malam ia masih lagi mempunyai baki sekitar 30 ke 40 peratus. Jika anda mengaktifkan mod penjimatan kuasa, saya yakin ia boleh bertahan sehingga dua hari.

    Pengecasan dalam Phone (2) telah dinaikkan kepada 45W, namun malangnya sama seperti Phone (1) sebelum ini, pengecas tidak disertakan dalam kotak jadi anda perlu bergantung kepada pengecas pihak ketiga. Pengecasan penuh akan mengambil masa sekitar sejam lebih, dan saya berpuas hati dengan tempoh pengecasan seperti ini. Ia juga boleh dicas secara wayarles dengan kadar 15W.

    Kini beralih kepada fotografi. Tidak seperti telefon andalan Android lain yang mempunyai tiga atau lebih kamera, Phone (2) hanya mempunyai dua kamera di belakang iaitu sebuah kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX890 dan kamera ultra-lebar 50MP. Kamera swafoto di hadapan pula mempunyai sensor 32MP, naik sedikit berbanding 16MP pada Phone (1).

    Saya telah membawa telefon untuk mengambil gambar sewaktu saya bercuti di Sweden dan saya amat berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan, termasuklah dalam suasana malam. Penghasilan warnanya nampak natural, manakala ketajamannya (sharpness) tidak nampak terlalu diproses. Kualiti gambar ultra-lebar mungkin tidak setanding seperti kamera utama, namun ia masih nampak memuaskan tanpa efek herotan (distortion) yang jelas.

    Sungguh pun begitu, ketiadaan kamera telefoto membuatkan Phone (2) tidak boleh menghasilkan gambar zum yang jelas. Untuk kamera hadapan pula, saya sangat berpuas hati dengan gambar swafoto, termasuklah dalam mod potret.

    Penstabilan imej optikal (OIS) juga berfungsi dengan baik untuk mengurangkan getaran sewaktu mengambil gambar dan merakam video. Saya boleh merakam sambil berjalan dan video akhir masih nampak stabil seperti menggunakan gimbal.

    Kesimpulan – Telefon untuk mereka yang inginkan kelainan

    Jika anda ingin memiliki telefon yang paling unik dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, susah untuk saya fikirkan telefon selain daripada Nothing Phone (2). Dengan permukaan belakang yang separa lutsinar untuk menunjukkan Glyph Interface, ia pasti akan menarik mata dan menjadi bahan bualan sewaktu anda lepak dengan rakan-rakan.

    Sungguh pun begitu, harganya yang bermula daripada RM2,999 mungkin akan mengelakkan beberapa orang daripada memilikinya, kerana anda boleh dapatkan telefon lain dengan spesifikasi serupa pada harga lebih murah, atau telefon yang lebih canggih pada harga sama. 

    Contohnya, POCO F5 Pro (RM2,099) dan Xiaomi 12T (RM2,699) sudah memiliki cipset Snapdragon 8+ Gen 1, malah ROG Phone 6 juga sudah boleh didapati pada harga bawah RM3,000. Namun anda perlu ingat bahawa telefon lain tidak memiliki rekaan unik seperti Phone (2). Berbalik kepada soalan yang saya tanyakan dalam tajuk ulasan ini, secara peribadi saya merasakan telefon ini lebih kepada gimik dan simbol status, namun buat mereka yang ingin menonjolkan diri, nothing (tiada) pilihan yang lebih baik daripada Nothing Phone (2).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    realme Narzo 70x 5G akan dilancar pada 24 April 2024

    realme akan melancarkan telefon pintar mampu milik, realme Narzo 70x 5G, pada hari Rabu, 24 April 2024 di India jam 12:00 tengah...

    vivo Y200i dilancar: SD 4 Gen 2, bateri 6,000mAh, cas pantas 44W, skrin 120Hz...

    vivo telah memperkenalkan telefon pintar kelas permulaan terbaru di China iaitu vivo Y200i. Ia merupakan varian terbaru yang menggunakan penjenamaan tersebut, selepas...

    Infinix Malaysia ajak anda ke XFans Road Tour, boleh cuba sendiri NOTE 40 Series...

    Infinix Malaysia akan menganjurkan jelajah jerayawara XFans Road Tour di dua bandar utama dalam Semenanjung Malaysia bagi mengajak para pengguna untuk cuba...

    DNB: Kami sentiasa telus dalam pemberian tender dan kontrak untuk pembinaan infrastruktur 5G

    Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membina infrastruktur 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB), menyatakan mereka sentiasa terbuka dan telus dalam soal pemberian...

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X