fbpx
More

    Ulasan Nothing Ear (stick) – Anda pilih gaya atau muzik?

    Nothing Ear (stick) ialah fon telinga wayarles terbaharu dan merupakan produk ketiga daripada syarikat Nothing setakat ini. Ear (stick) adalah produk teknologi yang berteraskan fesyen dengan reka bentuk sarung berputar lut sinar dan kelihatan sangat futuristik. Ear (stick) merupakan alternatif kepada Nothing Ear 1 yang dilancarkan sebelum ini.

    Walaupun Ear 1 mempunyai reka bentuk dalam telinga (in ear) standard, Ear (stick) menggunakan reka bentuk separuh dalam telinga (half in ear) sama seperti AirPods. Oleh yang demikian, Ear (stick) hadir dengan kekurangan ciri seperti pembatalan hingar aktif (ANC) dan mod ketelusan (ambient).

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Namun, apa yang menarik pada Ear (stick) ialah ia mempunyai hayat bateri yang lebih lama, pemacu yang lebih besar, reka bentuk antena yang dipertingkatkan, EQ tersuai dan pengurangan hingar yang lebih baik untuk panggilan. Yang paling menarik perhatian adalah reka bentuk sarung baharu yang lain daripada yang lain.

    Bagi saya, Nothing Ear (stick) mempunyai reka bentuk yang rare dan unik pernah saya lihat bukan sahaja untuk segmen fon telinga wayarles, tetapi untuk mana-mana produk teknologi sebelum ini. Nothing mengekalkan keunikan pada setiap produknya bermula daripada Nothing phone (1) hingga ke Ear 1 di mana mereka mengekalkan badan yang diperbuat daripada plastik lut sinar.

    Bahagian belakang Nothing Ear (stick)
    Bahagian sisi Nothing Ear (stick)

    Reka bentuk sarung Ear (stick) adalah berdasarkan gincu. Untuk menggunakannya, anda perlu memusing bahagian luar plastik lut sinar sambil memegang bahagian atas dan terus boleh mengeluarkannya. Sarung fon telinga ini bebas dipusing pada kedua-dua arah tanpa had. Plastik lut sinar memastikan fon telinga sentiasa kelihatan tanpa mengira sama ada ia sedang terbuka atau tertutup.

    Bahagian bawah sarung menempatkan modul plastik merah yang mengandungi port pengecasan USB-C. Di sebelahnya terdapat butang berwarna perak. Menariknya, butang yang diletakkan pada sarung ini tidak timbul dan menghalang daripada pengguna untuk tidak sengaja tertekan. Mekanisme untuk bahagian yang berputar direka bentuk dengan baik.

    Tempat pengecasan USB-C

    Pergerakan sangat lancar serta mekanisme terkunci pada tempatnya adalah memuaskan kerana anda tahu kedudukan betul untuk membuka dan menutup sarung tersebut. Penutup lut sinar untuk sarung itu dibuat sepenuhnya daripada plastik. Bahagian putih yang diletakkan logo Nothing mempunyai kemasan matte dengan tekstur bertitik halus yang memudahkan untuk digenggam dan diluncurkan jika anda ingin membukanya dengan sebelah tangan.

    Walaupun reka bentuknya sangat menarik, namun terdapat beberapa isu padanya. Bahagian penutup yang berpusing mempunyai ruang sedikit terbuka pada bahagian sekelilingnya yang mengakibatkan habuk untuk masuk. Saya perlu menggunakan blower untuk membuang habuk pada bahagian yang sukar dicapai.

    Ruang yang terbuka bermakna sarung ini juga tidak kalis air walaupun fon telinga ini kalis air. Bahagian plastik lut sinar juga membuatkan kesan cap jari senang melekat dan agak licin untuk dipegang terutama jika tapak tangan sedikit berpeluh. Plastiknya juga mudah calar dan tidak tahan lama terutamanya jika ia sentiasa berada di dalam beg atau poket anda.

    Ohh ya! Sarungnya juga terasa menjengkelkan jika diletakkan di dalam poket. Mungkin ia menggunakan reka bentuk bulat yang jelas memakan ruang berbanding reka bentuk petak. Tambahan, reka bentuk gincu yang berbentuk tiub boleh berdiri secara menegak. Namun, jika anda membaringkannya, sangat bahaya kerana ia boleh bergolek dan jatuh.

    Ia boleh bergolek dan jatuh. Hati-hati

    Ia terpulang kepada anda sama ada mahu memilih reka bentuk atau ciri praktikal untuk tugasan harian. Bergerak kepada bahagian reka bentuk fon telinganya, ia mengekalkan konsep yang terdapat pada Ear 1. Perbezaan yang paling ketara adalah fon telinga Ear (stick) mempunyai reka bentuk separuh dalam telinga berbanding reka bentuk dalam telinga Ear 1.

    Ini bermakna fon telinga ini duduk di luar saluran telinga anda dan bukannya di dalam. Gaya reka bentuk separuh dalam telinga adalah sedikit ketinggalan zaman berbanding reka bentuk dalam telinga. Reka bentuk dalam telinga menawarkan pemakaian yang lebih selesa, lebih selamat dan kedapan bunyi yang lebih baik.

    Nothing Ear (stick) ketika dipakai

    Sebagai perbandingan, reka bentuk separuh dalam telinga mempunyai satu saiz sahaja berbanding dalam telinga dengan pilihan silikon mengikut saiz lubang telinga. Saya juga sebenarnya lebih suka memakai fon dengan reka bentuk dalam telinga berbanding separuh dalam telinga kerana saiz lubang telinga saya yang kecil.

    Memakainya dalam masa yang lama juga memberi tekanan pada bahagian saluran telinga. Satu-satunya produk yang mengekalkan reka bentuk separuh dalam telinga ini adalah Apple AirPods. Kebanyakan orang membeli AirPods adalah kerana ia adalah jenama Apple dan merupakan Airpods termurah. Jadi, orang membelinya bukan sebab kualiti tetapi harga dan jenama.

    Berbanding dengan Ear (1), Ear (stick) tidak mempunyai ciri ANC dan ia merupakan salah satu ciri yang penting untuk sesebuah fon telinga dengan harga sekitar RM400. Namun, kawalan Ear (stick) lebih praktikal kerana ia menggunakan butang fizikal berbanding sentuhan. Nothing Ear (stick) menyokong aplikasi Nothing X baharu yang merupakan versi terkini untuk sokongan bagi semua produk audio Nothing semasa dan akan datang.

    Aplikasi ini tersedia pada Android dan iOS. Aplikasi Nothing X menampilkan antara muka yang dikemas kini dengan beberapa lagi ciri. Daripada skrin utama, anda boleh melihat peratusan bateri untuk fon telinga dan sarungnya, penyamaan (equalizer) serta tetapan kawalan. Tetapan penyamaan untuk Ear (stick) mempunyai empat pilihan tetapan serta EQ tersuai tiga jalur.

    EQ divisualisasikan dalam corak bulat dengan reka bentuk spektrum audio bukannya garisan rata seperti biasa. Anda perlu memilih salah satu daripada tetapan EQ dan tiada pilihan untuk menyahaktifkan sepenuhnya. Untuk ujian saya, saya memilih menggunakan tetapan Seimbang (Balanced) kerana ingin mendengar muzik dalam tetapan neutral.

    Kelihatan butang kawalan pada tangkai fon telinga

    Terdapat juga tetapan kawalan membolehkan anda menetapkan arahan untuk setiap sentuhan contohnya seperti tekan dua kali, tekan tiga kali, tekan dan tahan, tekan dua kali dan tahan. Anda boleh memilih daripada melangkau trek, pembantu suara atau melaraskan kelantangan. Namun, tekan sekali sentiasa berfungsi untuk main atau jeda.

    Sekali lagi saya ingatkan bahawa ciri ini sangat praktikal untuk mengelakkan daripada sentuhan tidak sengaja seperti fon telinga yang menggunakan ciri sentuhan. Ciri lain dalam aplikasi termasuk menyahaktifkan pengesanan dalam telinga, mod kependaman rendah untuk gaming, ciri Cari Earbud Saya dan keupayaan untuk mengemas kini perisian.

    Daripada segi kestabilan perisian, Ear (stick) menunjukkan prestasi yang sangat baik. Berdasarkan laporan sebelum ini, isu utama pada Ear 1 ialah ia mempunyai beberapa pepijat walaupun beberapa bulan selepas pelancaran. Sepanjang saya menggunakan Ear (stick) sememangnya tiada isu atau masalah pada kestabilan sambungan dan perisian.

    Tambahan, ketika bermain game juga tidak terasa lag dan normal. Jadi, saya tidak jumpa isu ketika bermain game dengan menggunakan Ear (stick). Ia mempunyai pemacu dinamik 12.6mm tunggal pada kedua-dua fon telinga dan menyokong codec SBC dan AAC melalui Bluetooth 5.2. Ear (stick) mempunyai bunyi julat upper-midrange, menfokuskan treble yang menjadikan bunyinya sedikit agresif.

    Ia bagaimanapun mempunyai ciri istimewa dengan kawalan bahagian bass. Jika anda seorang audiophile, ciri kawalan bass ini sangat membantu ketika mendengar lagu bergenre hip hop atau pop. Saya menggunakan Nothing Ear (stick) dengan Xiaomi 12 Pro untuk menulis ulasan ini dan memakainya sama ada di dalam atau aktiviti luar rumah.

    Ketika sedang mendengar lagu Bruno Mars – Treasure pada Nothing Ear (stick), bunyi yang dihasilkan sedikit tinggi pada bahagian treble serta upper-mids dan not tinggi terasa tajam. Rentak lagu era disko ini kedengaran lebih seperti bunyi ‘klik’ berbanding hentakan dengan not rendah terasa kurang ketara.

    Terdapat banyak perincian yang boleh didengari jika mendengarnya pada tahap kelantangan yang lebih tinggi. Namun, menetapkan kelantangan pada sekitar paras 50 peratus adalah lebih selesa tetapi ia akan menghilangkan beberapa perincian bunyi. Kekurangan ciri pembatalan hingar aktif juga mengganggu tahap keasyikan mendengar muzik kerana tiada kedapan bunyi yang sempurna.

    Saya juga menggunakannya untuk mendengar lagu John Denver – Take Me Home, Country Roads di mana vokal pada peranti ini sangat baik. Paling menyeronokkan apabila saya tidak perlu menguatkan kelantangan suara dan memberikan tekanan pada gegendang telinga. Saya akan rasa lebih relaks dan enjoy jika mendengarkan genre muzik seperti ini.

    Petikan lembut gitar bass dan dram melengkapkan dengan baik suara John Denver memberikan lagu itu tahap pada tahap terbaik. Walau bagaimanapun, Nothing Ear (stick) mempunyai set genre dan trek yang agak terhad menjadikannya mungkin tidak sesuai untuk ramai pendengar.

    Menariknya, saya suka mendengarkan podcast menggunakan peranti ini kerana bunyi vokal dan saya berasa selamat kerana menyedari keadaan sekeliling sama ada bunyi loceng pagar atau deringan telefon. Kualiti panggilan pada peranti ini juga baik dengan mikrofon yang jelas dan tiada gangguan suara.

    Hayat bateri pada Nothing Ear (stick) adalah sangat baik mungkin kerana tiada sokongan ANC. Fon telinga ini mampu bertahan lebih kurang 7 jam dengan sekali cas dan sarung pengecas akan menambah tiga kali cas penuh tambahan menghasilkan waktu mendengar 29 jam. Diingatkan bahawa tiada pengecasan wayarles untuk sarung ini tetapi terdapat pengecasan pantas.

    Ketika dilancarkan, Nothing Ear (stick) telah menjadi subjek gembar-gembur dan perhatian tetapi dalam praktiknya, fon telinga ini tidak begitu mengagumkan. Harganya kelihatan agak tinggi memandangkan kekurangan ciri yang jelas seperti pembatalan hingar aktif. Walaupun Nothing Ear (stick) kedengaran baik dengan jenis muzik tertentu dan cukup berguna untuk mendengar podcast serta panggilan suara, ia agak tidak berbaloi dengan tanda harga RM469.

    Mungkin anda boleh memikirkan untuk membandingkannya dengan Nothing Ear (1) atau berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan OPPO Enco X2 yang menawarkan ANC, sokongan codec lanjutan dan bunyi yang lebih baik. Tambahan, anda juga boleh membandingkan Nothing Ear (stick) dengan Sony WF-1000XM3 jika mahukan jenama yang lebih dipercayai dan berkualiti.

    Spesifikasi dan ciri teknologi Nothing Ear (stick)

    • Bluetooth V5.2
    • Saiz driver: 12.6mm
    • Pengesanan dalam telinga
    • Hayat bateri: Sehingga 7 jam masa mendengar, 3 jam masa bercakap, sarung pengecasan memberikan 22 jam tambahan menghasilkan 29 jam masa sedia
    • Pengecasan 10 minit memberikan sehingga 2 jam masa mendengar
    • Rintangan air: IP54 tahan peluh
    • Berat: 4.4 gram (setiap fon telinga)
    • Harga: RM469

    Kebaikan – Reka bentuk yang rare dan futuristik, pengecasan pantas dan ringan

    Kelemahan – Tiada pembatalan hingar aktif, rasa jengkel ketika diletakkan di dalam poket, muzik yang dihasilkan agak biasa dan bajet yang besar untuk dibelanjakan

    Kesimpulan – Sesuai bagi pengguna yang mementingkan gaya berbanding kualiti bunyi

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X