realme 16 Pro+ muncul sebagai percubaan untuk mendominasi segmen pertengahan atas dengan memfokuskan kepada dua aspek ekstrem iaitu fotografi potret resolusi tinggi dan kapasiti bateri yang luar biasa besar. Kehadiran realme 16 Pro+ sebenarnya membawa satu perspektif baharu dalam kategori peranti yang sering kita panggil sebagai pembunuh peranti andalan atau flagship killer.
Rekaan – Urban Wild yang lasak dengan gred IP69 Pro
Apa yang paling menarik perhatian saya sebaik saja memegang peranti ini ialah rekaan “Urban Wild” yang merupakan hasil kolaborasi sulung pereka terkenal dunia, Naoto Fukasawa untuk siri nombor realme. Fukasawa yang memang terkenal dengan falsafah “Without Thought” sebelum ini pernah bekerjasama dengan realme untuk model siri X dan GT, namun kali ini dia membawa sentuhan elemen alam semula jadi dalam estetika bandar yang moden.
Kalau kita bandingkan dengan rekaan peranti lain yang mungkin nampak agak biasa atau hanya menggunakan kaca matte, realme 16 Pro+ menggunakan bahan silikon organik berasaskan bio yang sangat mesra alam. Bahan ini sebenarnya dibuat daripada jerami tumbuhan yang boleh diperbaharui melalui proses yang sepenuhnya hijau, memberikan tekstur yang lembut seakan kulit dan sangat selesa bila dipegang.

Ia bukan sekadar nampak cantik dalam warna Master Gold atau Master Grey, malah ia sangat tahan lama kerana bersifat anti-gelincir serta kalis terhadap kotoran, bakteria dan kesan haus walaupun selepas penggunaan yang lama. Satu perkara yang saya rasa realme memang menang besar berbanding pesaingnya ialah bab ketahanan fizikal kerana mereka berjaya meletakkan penarafan IP69 Pro, iaitu termasuk IP66, IP68, IP69 dan IP69K dalam peranti ini.
Untuk pembaca yang mungkin kurang faham, penarafan IP69 Pro bermaksud telefon ini bukan saja kalis debu atau boleh tenggelam dalam air, malah ia mampu menahan pancutan air yang mempunyai tekanan tinggi sehingga 8-10 MPa pada suhu setinggi 80 darjah. Ia adalah satu tahap perlindungan yang sangat jarang ditemui dalam segmen yang sama, malah realme menampilkan sokongan fotografi dalam air untuk sesiapa yang suka bereksperimen dengan sudut penggambaran yang lebih mencabar dalam keadaan basah.

Bahagian modul kameranya juga tiba dengan rekaan “Volcanic Camera Deco” yang mempunyai bonggolan yang sangat halus supaya peralihan visual antara badan peranti dan lensa nampak lebih lancar dan selesa dipegang. realme menggunakan kemasan logam digilap seakan cermin yang dipanggil “Metal Mirror Camera Deco” dengan salutan PVD (Physical Vapor Deposition) yang berkualiti tinggi macam jam tangan mewah.
Salutan logam skala-nano pada permukaan kamera pula berfungsi untuk melindungi lensa daripada kesan peluh, hujan atau hakisan supaya tetap berkilat dan nampak baharu untuk tempoh yang lama.
Spesifikasi – Standard baharu skrin dan kamera LumaColor
Berikut adalah spesifikasi teknologi penuh untuk realme 16 Pro+:
- Cipset Snapdragon 7 Gen 4 (4nm TSMC)
- Paparan 6.8″ AMOLED, 144Hz, 6500nit, 4608Hz PWM Dimming
- Kamera Belakang 200MP (Utama) + 50MP (Telefoto 3.5x) + 8MP (Ultra-Lebar)
- Kamera swafoto 50MP (OV50D, f/2.4)
- Bateri & Cas 7000mAh Titan Battery, 80W Ultra Charge
- Memori Rocket LPDDR5X (8400Mbps)
- KetahananIP66/IP68/IP69/IP69K
- Sistem Operasi realme UI 7.0 (Berasaskan Android 16)
- Sambungan 5G NR, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.4 LE, Dual Nano SIM
- Warna: Master Gold dan Master Grey
- Harga: 12/512GB – RM2,299
realme 16 Pro+ menggunakan skrin AMOLED 144Hz HyperGlow 4D Curve+ bersaiz 6.8 inci yang bagi saya adalah antara yang terbaik pernah tengok setakat ini. Kalau peranti lain masih berpuas hati dengan kadar segar semula 120Hz, realme melangkah lebih jauh dengan 144Hz untuk memastikan setiap interaksi pengguna dengan skrin nampak sangat lancar terutamanya masa tengah bermain game atau scrolling media sosial.

Apa yang lebih mengejutkan ialah kecerahan puncaknya yang mencecah sehingga 6500 nits, jauh meninggalkan pesaing yang mungkin hanya mampu capai sekitar 4500 nits. Ini bermakna walaupun anda berdiri di bawah cahaya matahari terik, anda tetap boleh nampak kandungan skrin dengan sangat jelas tanpa perlu mengecilkan mata.
Untuk keselamatan mata pula, skrin ini dilengkapi teknologi PWM Dimming frekuensi tinggi 4608Hz untuk mengurangkan keletihan mata dan ia mampu memaparkan sehingga 1.07 bilion warna dengan tumpuan warna 100% DCI-P3. Reka bentuk “Deep 4-Curve” yang menggabungkan lengkungan sisi yang dalam dengan lengkungan atas-bawah yang lembut menjadikan genggaman peranti terasa sangat ergonomik dan mengikut bentuk tangan anda secara semula jadi
Prestasi – Cekap tenaga dengan skor AnTuTu 1.44 juta
Prestasi dalaman realme 16 Pro+ dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4 yang dibina berasaskan proses 4nm TSMC yang sangat cekap tenaga. Walaupun ia bukan cip siri 8, prestasinya tidak boleh dipandang rendah sebab skor AnTuTu peranti ini mencecah sehingga 1,440,000 yang merupakan markah tertinggi berbanding mana-mana peranti lain yang menggunakan cip yang sama.
Ia dipadankan dengan memori Rocket LPDDR5X yang sangat laju dengan kelajuan baca/tulis sehingga 8400Mbps pada frekuensi 4200MHz. Lebar jalur yang tinggi sangat penting bukan saja untuk kelancaran berbilang tugasan, malah ia membolehkan fungsi kecerdasan buatan (AI) atas-peranti macam pemprosesan foto AI dijalankan dengan pantas.

Untuk memastikan peranti ini tak cepat panas masa tengah buat kerja berat, realme pasangkan sistem penyejukan “AirFlow VC” yang menggunakan perolakan udara panas-sejuk di dalam ruang VC untuk tarik haba keluar dari bahagian teras dengan sangat pantas. Jadi masa saya tengah main game macam MLBB, peranti ini akan tetap rasa sejuk dan kadar bingkai pula akan sentiasa stabil yang menjadikannya satu “senjata” yang sangat padu untuk para pemain game tegar.
Kekuatan paling utama yang saya rasa realme memang sangat kedepan ialah bab bateri “Titan” yang berkapasiti 7000mAh. Walaupun bateri dia besar gila, realme tetap berjaya kekalkan badan telefon yang nipis iaitu sekitar 8.49mm saja atau cuma 8.09mm untuk versi warna merah jambu. Baterinya mampu bertahan sehingga 21 jam untuk tontonan YouTube atau lebih 125 jam untuk main muzik secara terus.

Untuk pengecasan, peranti menyokong 80W Ultra Charge dan terdapat cip “AI Long-life” yang menjamin kesihatan bateri akan tetap berada atas 80% walaupun dah guna setiap hari selama 5 tahun. Ada satu ciri yang saya sangat suka iaitu “Bypass Charging” di mana kuasa elektrik akan disalurkan terus ke papan induk masa tengah main game, jadi peranti takkan cepat panas dan bateri pun takkan cepat rosak. ‘
Kalau anda dalam situasi kecemasan dan bateri tinggal 1% pun, peranti ini masih boleh bertahan dalam mod siap sedia sehingga 7.5 jam melalui mod “Super Power Saving”. Untuk perisian, realme 16 Pro+ menggunakan realme UI 7.0 yang berasaskan Android 16 dengan sistem pengoptimuman “Flux Engine” yang memberikan animasi 15% lebih laju dan sangat lancar masa guna aplikasi harian.
Ekosistem kecerdasan buatan NEXTAI mereka pula sangat kaya dengan ciri menarik macam “AI Edit Genie” yang dikuasakan oleh model AI “Nano Banana” untuk edit gambar hanya dengan bercakap. Anda boleh cakap saja nak tukar gaya rambut atau baju, dan AI akan buatkan dengan mengekalkan muka yang asal. Ada juga “AI LightMe” untuk ubah suasana cahaya dalam gambar dan “AI StyleMe” untuk cuba pelbagai gaya unik untuk media sosial.
Integrasi dengan Google Gemini Live membolehkan saya bersembang terus dengan AI pasal apa saja yang korang nampak melalui kamera manakala “AI Recording” dan “AI Translate” sangat membantu untuk urusan kerja macam mesyuarat atau temu bual merentas bahasa. Pemain game pula dapat manfaat daripada “AI Gaming Coach” yang akan bagi amaran atau petua secara masa-nyata masa tengah berlawan.
Melangkah ke bahagian yang menarik, sistem kamera yang digelar “200MP Portrait Master” menggunakan sensor flagship Samsung HP5 bersaiz 1/1.56 inci yang sangat berkuasa. Kamera utama menggunakan teknologi LumaColor IMAGE yang dibangunkan bersama TÜV Rheinland untuk memastikan setiap gambar yang diambil mempunyai tona kulit yang sangat asli dan hidup, sesuai dengan konsep “a thousand faces, a thousand complexions”.

Selain kamera utama, terdapat lensa telefoto potret 50MP yang menyokong zum optik 3.5x dan zum digital sehingga 120x. Dengan gabungan algoritma “ProDepth Bokeh”, anda boleh ambil gambar potret yang ada kesan kabur latar belakang yang sangat halus sampai ke paras helaian rambut subjek. Teknologi pengimejan turut menyertakan algoritma “HyperRAW” untuk perincian yang lebih tajam dan “Anti-Distortion” untuk betulkan muka orang yang nampak penyek atau herot pada bahagian tepi gambar berkumpulan.
Malah, fungsi “AI Perfect Shot” secara automatik akan cari muka paling cantik semua orang dalam gambar kumpulan dan tukar ekspresi yang tak cantik seperti mata terpejam jadi sempurna. Algoritma “MainTrack” pula akan sentiasa kunci fokus pada subjek supaya dia sentiasa tajam walaupun saya bergerak bebas masa tengah merakam. Bagi peminat video, realme 16 Pro+ membolehkan anda rakam video 4K FullFocal HDR merentas semua jarak fokus utama supaya kualiti video tetap konsisten sama ada guna lensa biasa atau telefoto.




Kesimpulan – Pakej lengkap untuk fotografi dan ketahanan ekstrem

Secara keseluruhannya, realme 16 Pro+ ini adalah sebuah peranti yang sangat padat dengan teknologi pengimejan tinggi, ketahanan gred lasak dan pengurusan tenaga yang sangat luar biasa dalam satu pakej yang nampak sangat premium. Bagi pembaca yang berminat untuk melakukan pra-tempah, anda boleh kunjungi laman media sosial rasmi realme atau rujuk gambar diatas. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






