Apabila menyebut nama “ThinkPad”, imej yang muncul di kepala kita biasanya adalah sebuah laptop kotak berwarna hitam yang tegap, papan kekunci yang dalam dan tentu sekali, “puting merah” atau TrackPoint yang ikonik. Namun, selepas dua minggu menghabiskan masa dengan Lenovo ThinkPad X9-14 Aura Edition, saya sedar bahawa Lenovo sedang cuba melakukan sesuatu yang sangat berani.
Mereka sedang meruntuhkan tradisi untuk membina masa depan. Ini bukan sekadar penambahbaikan spesifikasi. Ini adalah penjenamaan semula identiti untuk golongan profesional moden yang mahukan ketahanan ThinkPad tetapi dengan estetika yang lebih “stail”. Perkara pertama yang akan mengejutkan peminat setia ThinkPad adalah ketiadaan TrackPoint merah. Ya, anda tidak salah baca.


X9-14 Aura Edition telah membuangnya. Bagi saya, ini adalah langkah berisiko tetapi perlu untuk mencapai rekaan yang lebih bersih. Laptop ini dibina menggunakan aluminium kitar semula yang terasa sangat premium dan sejuk apabila disentuh. Dengan ketebalan hanya sekitar 17.71mm, ia terasa nipis tetapi sangat teguh. Ia masih mengekalkan gred tentera MIL-STD 810H, jadi jangan risau jika anda jenis yang lasak.
Warnanya tidak lagi “hitam pekat” yang membosankan, sebaliknya mempunyai tekstur yang lebih moden yang tidak mudah meninggalkan kesan cap jari yang merupakan masalah utama pada model ThinkPad X1 Carbon sebelum ini. Satu lagi perubahan besar adalah Haptic Trackpad. Ia tidak lagi menggunakan butang fizikal di bahagian atas untuk dipadankan dengan TrackPoint.


Sebaliknya, keseluruhan pad sentuh ini memberikan maklum balas getaran (haptic) yang sangat natural. Selepas beberapa hari, saya rasa pad sentuh ini antara yang terbaik dalam dunia Windows setanding dengan apa yang ditawarkan oleh siri MacBook Pro atau Dell XPS. Jika anda pernah membaca ulasan sebelum ini tentang ASUS Zenbook S 16, anda tahu betapa kami meminati skrin OLED.
Menariknya, Lenovo tidak mengecewakan. Skrin 14 inci dengan resolusi 2.8K (2880 x 1800) ini adalah “bintang” utama. Ia hadir dengan kecerahan 500 nits dan sokongan Dolby Vision yang membuatkan tontonan kandungan HDR atau melakukan penyuntingan warna adalah satu kepuasan. Apa yang menarik adalah kadar segar semula 120Hz yang bersifat Variable (VRR).


Ia akan turun sehingga 30Hz apabila anda hanya membaca teks untuk menjimatkan bateri dan melonjak ke 120Hz apabila anda menatal atau bermain game. Pergerakannya sangat lancar, jauh berbeza dengan skrin 60Hz tradisional. Nisbah aspek 16:10 juga memberikan ruang kerja menegak yang lebih luas yang sangat membantu apabila saya sedang menulis artikel panjang atau menyemak hamparan Excel yang besar tanpa perlu kerap menatal.
Lenovo ThinkPad X9-14 Aura Edition dinadikan cip terbaharu Intel Core Ultra 7 (Siri 2) atau lebih dikenali dengan nama kod Lunar Lake. Ini bukan sekadar pemproses biasa, ia adalah sebuah Copilot+ PC. Dengan NPU (Neural Processing Unit) yang mampu mencecah sehingga 48 TOPS, tugasan AI dilakukan secara lokal tanpa membebankan CPU. Sepanjang dua minggu, saya dapati laptop ini sangat senyap.



Malah, apabila saya membuka 30 tab Google Chrome, Spotify dan melakukan suntingan gambar di Adobe Lightroom secara serentak, kipasnya hampir tidak kedengaran. Satu butang khas Microsoft Copilot terletak bersebelahan dengan kekunci anak panah. Tekan sahaja dan pembantu AI sedia membantu anda merumuskan dokumen atau menjana imej.
Bagi saya yang bekerja sebagai penulis, fungsi ini sangat membantu untuk mencari rujukan pantas atau menterjemah teks teknikal dalam sekelip mata. Ciri eksklusif “Aura Edition” pula bukan sekadar gimik dan inilah yang membezakannya dengan mana-mana ThinkPad lain. Lenovo memperkenalkan Smart Modes yang boleh diakses melalui kekunci F8 (mode).


Salah satu keistimewaan yang benar-benar mematangkan laptop ini adalah integrasi Smart Modes yang direka khusus untuk memudahkan urusan seharian saya sebagai seorang penulis. Sebagai contoh, semasa saya bekerja di kafe, Shield Mode bertindak sebagai ‘penjaga’ peribadi di mana kamera IR akan mengesan sekiranya ada individu di belakang yang cuba mengintai skrin saya, lalu mengaburkannya secara automatik sambil menghantar amaran privasi yang pantas.
Apabila tiba masa untuk saya ingin fokus, Attention Mode menjadi sangat berguna kerana ia melenyapkan segala notifikasi yang mengganggu dan membolehkan saya menetapkan pemasa khusus untuk fokus bekerja tanpa sebarang gangguan digital. Kualiti komunikasi juga meningkat melalui Collaboration Mode yang memanfaatkan sepenuhnya kamera 8MP UHD dengan bantuan AI.


Ia bukan sahaja mampu mengaburkan latar belakang dengan sangat kemas, malah mempunyai ciri Eye Contact yang membetulkan arah pandangan mata supaya saya sentiasa kelihatan fokus dalam mesyuarat. Akhir sekali, ciri Wellness Mode bertindak sebagai peringatan mesra sekiranya posisi duduk saya mula membongkok atau jika mata saya sudah terlalu letih menghadap skrin untuk memastikan kesejahteraan fizikal terjaga walaupun ketika bekerja dalam tempoh yang lama.
Beralih kepada gaming, sebagai seorang peminat bola sepak, saya sangat mementingkan kelancaran pergerakan pemain dan apabila menguji eFootball pada resolusi 1080p dengan tetapan High, permainan ini berjalan sangat stabil pada 60fps dengan warna jersi serta rumput stadium yang nampak sangat hidup di atas skrin OLED 2.8K tanpa sebarang masalah ghosting atau sangkut-sangkut. Malah, keupayaan Intel Arc 140V memastikan suhu laptop kekal suam-suam kuku sahaja sepanjang perlawanan.



Beralih ke permainan kompetitif seperti Valorant, inilah masanya untuk menguji skrin 120Hz VRR yang memberikan purata 110 hingga 130 fps pada tetapan Medium sehingga pergerakan crosshair terasa sangat lancar dan ketiadaan lag input hampir membuatkan saya lupa bahawa saya sedang menggunakan sebuah laptop perniagaan walaupun saya tetap menyarankan penggunaan tetikus luaran untuk bidikan headshot yang lebih tepat.
Bagi permainan yang lebih berat seperti PUBG: BATTLEGROUNDS, saya mendapati had sebenar laptop ultranipis ini memerlukan tetapan ditukar kepada Low-Medium pada resolusi 1080p bagi mendapatkan kadar bingkai sekitar 50 hingga 65 fps yang masih sangat selesa untuk dimainkan walaupun kipas mula berpusing sedikit laju. Namun, kualiti audio Dolby Atmos banyak membantu saya mengesan arah bunyi tapak kaki musuh di kawasan Pochinki dengan jelas walaupun tanpa menggunakan fon telinga.


Dalam fasa pengujian teknikal, saya cuba menjalankan beberapa ujian tanda aras grafik untuk melihat potensi sebenar cip Intel Core Ultra ini. Walau bagaimanapun, satu perkara pelik berlaku di mana kedua-dua ujian grafik yang dijalankan tidak berjaya dilengkapkan dan memaparkan ralat. Situasi ini berkemungkinan besar berpunca daripada pemacu grafik Intel Arc terbaharu yang mungkin masih memerlukan kemas kini kestabilan daripada pihak pengeluar ataupun konflik perisian tanda aras tersebut dengan seni bina Lunar Lake yang masih sangat baharu di pasaran.
Meskipun ujian sintetik ini gagal, ia tidak mencerminkan prestasi sebenar kerana dalam penggunaan dunia nyata terutamanya ketika bermain eFootball dan Valorant, ia tetap memberikan prestasi yang sangat lancar tanpa sebarang gangguan teknikal. Saya memohon maaf kerana tidak dapat memaparkan keputusan penuh bagi ujian tanda aras grafik kali ini meskipun beberapa percubaan telah dilakukan.


Bateri 80Wh pada X9-14 ini cukup untuk bertahan sekitar 11 hingga 13 jam penggunaan realistik (melayari web dan menulis). Namun, apa yang paling saya suka adalah pengecas GaN (Gallium Nitride) 65W yang disertakan. Ia sangat kecil seperti separuh daripada saiz pengecas laptop biasa tetapi sangat berkuasa. Ini memudahkan saya untuk membawa laptop ini ke mana-mana tanpa beg yang berat dan besar.
Dengan harga bermula sekitar RM7,078, ThinkPad X9-14 Aura Edition sememangnya satu pelaburan yang berbaloi bagi golongan profesional yang mendambakan keseimbangan antara kecanggihan AI dan mobiliti ultra-ringan. Namun, jika fokus utama anda adalah untuk prestasi gaming yang lebih ekstrem atau tugasan grafik yang sangat berat, siri Lenovo Legion mungkin merupakan alternatif yang lebih sesuai. Apa pendapat anda tentang transformasi berani siri Aura Edition ini?
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Spesifikasi lengkap Lenovo ThinkPad X9-14 Aura Edition:
- Pemproses: Intel Core Ultra 7 258V (Siri 2) dengan NPU sehingga 47-48 TOPS
- Grafik: Intel Arc Graphics 140V
- RAM: 32GB LPDDR5x-8533MHz (Soldered)
- Storan: 1TB M.2 2242 PCIe Gen4 SSD (Sehingga 2TB)
- Dimensi dan berat: 343.8 x 235.4 x 17.71 mm, berat 1.46kg
- Paparan: Skrin sentuh OLED 14 inci, resolusi 2.8K (2880 x 1800), nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 120Hz (VRR 30-120Hz), 500 nits, DisplayHDR True Black 600, 100% DCI-P3, TÜV Rheinland Eye Comfort Certified
- Ciri-ciri: Copilot+ PC, Aura Edition (Smart Modes, Smart Share, Smart Care), Kamera UHD 8MP dengan penderia IR & ToF, E-shutter privasi, Haptic Trackpad kaca, pembesar suara Dolby Atmos
- Kesambungan: Intel Wi-Fi 7 (802.11be), Bluetooth 5.4
- Port: Always On 2x USB-C (Thunderbolt 4 / USB PD 3.0 / DisplayPort 2.1), 1x HDMI 2.1 (Sehingga 4K/60Hz), 1x bicu audio 3.5mm
- Bateri: 80WHrs (Pengecas 65W USB-C Slim GaN Adapter)
- Sistem Operasi: Windows 11 Pro / Home

Kelebihan – Menawarkan pakej premium dengan paparan OLED 2.8K 120Hz yang memukau, prestasi AI Intel Core Ultra yang mantap serta pengecas GaN yang sangat kompak untuk mobiliti.
Keburukan – Ketiadaan TrackPoint ikonik mungkin mengecewakan peminat setia ThinkPad manakala RAM yang dipateri mengehadkan potensi untuk menaik taraf perkakasan pada masa hadapan.
Kesimpulan – Satu evolusi berani yang menggabungkan ketahanan gred tentera dengan ciri AI moden yang menjadikannya antara komputer riba profesional terbaik bagi mereka yang mementingkan gaya dan prestasi.







